Bagi kaki pancing laut dalam di Semenanjung, Pulau Aur mempunyai auranya yang tersendiri.
Terletak kira-kira 65 kilometer dari pesisir pantai Mersing di Laut China Selatan, pulau ini terkenal dengan kejernihan air, struktur karang yang masih cantik terpelihara dan kepelbagaian spesies ikan pelagik dan demersal.
Dari Kuala Lumpur, perjalanan menuju ke Mersing memakan masa sekitar empat hingga lima jam bergantung kepada keadaan trafik, sebelum pemancing perlu menaiki bot selama beberapa jam untuk tiba di Pulau Aur.
Walaupun jauh, namun Pulau Aur tetap menjadi destinasi idaman ramai pemancing. Faktor arusnya yang kaya dengan sumber makanan menjadikan kawasan ini ‘rumah’ kepada pelbagai spesies ikan target pemancing.
Perjalanan
Begitulah yang dapat digambarkan menerusi trip bottom drift bersama UbeyZul yang berlangsung pada awal Mei lalu.
Geng Jenggo Hunters dari Sungai Buloh, Selangor berkomplot demi satu misi, memburu penghuni dasar di perairan Pulau Aur.
Seawal pukul 7 pagi, 17 orang peserta dari Lembah Klang mula berkumpul, sementara empat lagi peserta dari Johor Bahru bergerak terus ke Mersing dan tiga orang dari Singapura sudah sampai awal di sana.
Sekitar pukul 8.30 pagi, konvoi mula bergerak dari Sungai Buloh menuju ke destinasi. Menjelang pukul 4 petang, semua peserta akhirnya tiba di inap desa milik Pak Usop di Air Papan.
Keletihan perjalanan jelas terasa, namun keterujaan mengatasi segalanya. Sesi persiapan peralatan memancing pula bermula.
Meja dipenuhi assist hook, batu ladung, perambut apollo dan pelbagai jenis mata kail.
Hakikatnya, bagi kaki pancing laut dalam, persiapan rapi memang menjadi perkara utama. Sedikit kesilapan pada perambut atau drag kekili mampu menyebabkan ikan idaman terlepas begitu sahaja.

Bottom drift
Pada pagi 2 Mei, selesai bersarapan, semua bergerak menuju ke Jeti UbeyZul di Teluk Buih, Air Papan. Di sinilah, debaran sebenar bermula.
Pada trip kali ini, tiga buah bot digunakan dan ia dikendalikan oleh tekong Shahrol, Irfan dan Jun. Ketiga-tiga tekong ini bukanlah nama asing di sekitar Mersing. Pengalaman mereka membaca arus, lubuk serta keadaan cuaca menjadi faktor utama kejayaan sesuatu trip.
Pada pukul 8.30 pagi, ketiga-tiga bot bergerak menuju ke lokasi pertama. Laut pada pagi itu lenang dengan tiupan angin yang cukup selesa.
Teknik utama yang digunakan sepanjang trip ini adalah bottom drift menggunakan umpan sotong atau hirisan ikan. Teknik ini memerlukan bot berhanyut mengikut arus sambil umpan dilabuhkan ke dasar.
Walaupun nampak mudah, tetapi ia tetap memerlukan kesabaran dan fokus. Pemancing perlu sentiasa peka terhadap getuan halus kerana kebanyakan spesies ikan dasar seperti jenahak, merah dan kerapu sering menyambar umpan secara berhati-hati.
Tidak lama selepas umpan pertama dilabuhkan, beberapa joran mula melentur. Suasana atas bot yang tadinya tenang bertukar riuh-rendah dengan sorakan peserta.
Ada yang berjaya menaikkan ikan merah bersaiz hidangan, manakala beberapa ekor kerapu dan ibu kerisi turut berjaya dinaikkan.
Sesekali, kedengaran suara tekong memberi arahan supaya tali tidak bersilang ketika ikan sedang diasak naik dari dasar.
Menjelang petang, sesi bottom drift bertukar kepada apollo bagi mencari ikan-ikan kecil untuk dijadikan umpan hidup dan lauk makan malam.
Aktiviti apollo sering dianggap sesi santai, namun sebenarnya inilah antara bahagian paling menyeronokkan.
Setiap kali kumpulan ikan kecil melintasi bot, pasti beberapa batang joran melentur serentak.
Menjelang waktu maghrib, ketiga-tiga bot mula bergerak memasuki kawasan Pulau Aur untuk berehat.
Setibanya di chalet, masing-masing membersihkan diri sebelum berkumpul menikmati makan malam. Walaupun keletihan selepas seharian di laut, namun wajah semua peserta jelas memperlihatkan kepuasan.
Begitulah rutin kami di Pulau Aur selama tiga hari dua malam, pagi keluar memancing dan awal malam balik semula ke pulau untuk berehat, tetapi di hari terakhir satu kejutan berlaku.
Ikan merah monster
Misi bermula dengan penggunaan umpan selar potong, umpan yang selalu menjadi pertaruhan pemancing bagi memburu spesies ikan merah bersaiz kasar di perairan ini.
Bot berhanyut di atas lubang kawah yang dalam dan dipagari batu-batu karang. Tidak lama kemudian, umpan disambar rakus. Joran melentur dan pertarungan bermula apabila ikan meluru ke struktur berkarang.
Kekili elektrik Daiwa Seaborg 600MJ memudahkan proses mengepam ikan, namun kekuatan dan asakan ikan tetap menguji kesabaran pemancing.
Selepas kira-kira 15 minit bertarung, kelibat ikan merah monster akhirnya muncul di permukaan.
Tangkapan seberat 7.9 kilogram (kg) ini menjadi bukti bahawa perairan Pulau Aur masih menyimpan khazanah ikan merah saiz ‘trofi’ yang menjadi idaman ramai pemancing laut dalam.














