JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi hari ini menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan mengenai pemansuhan Dewan Negeri Johor Ke-15 yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Menerusi surat bertarikh 2 Jun yang ditujukan kepada Pengerusi SPR, Datuk Dr. Mohd Puad memaklumkan bahawa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah berkenan membuat pemasyhuran memansuhkan Dewan Negeri Johor.
Menurut surat tersebut, pemasyhuran berkenaan dirujuk sebagai JPU No. 18 Tambahan No. 10 Jilid 70 No. 22 bertarikh 1 Jun 2026.
“Dimaklumkan bahawa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah berkenan membuat pemasyhuran memansuhkan Dewan Negeri Johor pada 1 Jun 2026,” menurut kandungan surat itu.
Surat berstatus segera itu turut disalinkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor dan Jurutulis Dewan Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
Pemakluman rasmi kepada SPR itu merupakan antara proses penting susulan pembubaran Dewan Negeri Johor sebelum suruhanjaya berkenaan mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Dewan Negeri Johor dibubarkan selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan untuk memilih kerajaan negeri yang baharu.
SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian selepas menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN tersebut. – KOSMO! ONLINE.














