TAPAH – Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, di sini sejak Ahad minggu lalu berdepan risiko terserempak dengan haiwan buas seperti harimau kumbang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, berdasarkan maklumat pasukan penyelamat yang berada di lokasi telah menemui najis haiwan liar tersebut.
“Yang berbahaya (haiwan liar) pun ada dan kita pun mengutamakan juga langkah-langkah keselamatan serta hindari kawasan tersebut, tapi kita berusaha (juga) untuk menjejaki Jaslinda,” katanya di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, Tapah hari ini.
Katanya lagi, kawasan sekitar pergunungan tersebut terdapat harimau kumbang namun tiada kelibat gajah dikesan setakat ini.
Berhubung operasi SAR di kawasan Sungai Ayer Busok untuk menjejaki Jaslinda, Sabarodzi berkata, dia dan pegawai Perhilitan terlibat ke sungai tersebut tetapi didapati tidak dimasuki oleh pasukan penyelamat dan mangsa sendiri.
Jelasnya, pasukan penyelamat meneroka kawasan-kawasan yang belum diterokai untuk sebarang kemungkinan dan operasi SAR itu akan diteruskan sehingga ada tempoh tertentu yang ditetapkan pihak berautoriti. – KOSMO! ONLINE














