fbpx
Seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai pemilik syarikat serta majikan ditahan dalam Operasi Khas JIM di Semenyih. - IHSAN JIM

Dalang bekal pekerja asing dicekup, RM48,524 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Taktik berselindung di sebalik premis perniagaan dan premis makanan untuk membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran terbongkar apabila Jabatan Imigresen (JIM) menahan tujuh individu termasuk dalangnya serta merampas wang tunai RM48,524 pada Rabu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas bermula pukul 12.20 tengah hari itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan.

Beliau berkata, pemeriksaan di sebuah premis perniagaan dan premis makanan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai pemilik syarikat serta majikan.

“Turut ditahan ialah empat lelaki warga Bangladesh, seorang wanita warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 27 hingga 57 tahun.

“Semakan awal mendapati suspek utama memiliki MyPR, seorang lelaki warga Bangladesh memiliki Pas Pelajar, manakala wanita warga Thailand itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (Pekerja Restoran).

“Warga asing yang lain pula tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mengurus dan membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran serta kelulusan yang sah dengan menyasarkan majikan tempatan, khususnya di Lembah Klang yang memerlukan tenaga kerja warga asing.

“Kegiatan itu berselindung di sebalik premis perniagaan dan premis makanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Bayaran RM4,000 dikenakan bagi setiap individu untuk menguruskan dan memperbaharui pas,” katanya.

Zakaria berkata, suspek utama disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala pihaknya menyita 31 pasport Bangladesh, satu pasport Thailand serta salinan Suruhanjaya Syarikat.

Katanya, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand pula disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Seorang lelaki dan tiga wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh turut diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN