SEREMBAN – Cubaan seorang penunggang motosikal meloloskan diri dengan merempuh kereta milik anggota polis yang digunakan dalam sekatan jalan raya gagal apabila dia ditahan dalam satu operasi di Jalan Persiaran Senawang 1, awal pagi tadi.
Dalam Ops Bersepadu Motosikal (Samseng Jalanan) yang bermula pukul 10 malam hingga 7 pagi itu, penunggang motosikal terbabit telah ditahan selepas terjatuh, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Dalam operasi sama, seorang penunggang motosikal berusia 37 tahun yang mabuk turut ditahan bersama tiga individu lain atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, seramai 141 kenderaan dan 181 individu yang majoriti berusia antara 18 hingga 40 tahun telah diperiksa sepanjang operasi itu.
Katanya, sebanyak 19 motosikal telah disita kerana diubah suai dan ditunggang dengan cara yang membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Polis turut mengeluarkan 209 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ketiadaan cermin sisi serta kegagalan mempamerkan nombor pendaftaran,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














