PUTRAJAYA – Tiga laluan utama di sekitar Presint 1 di sini akan ditutup sementara bermula pukul 7 pagi pada 3 dan 5 Jun ini sempena Sambutan Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2026.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, penutupan itu melibatkan Jalan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jalan Lebuh Perdana Timur serta laluan sekitar Kompleks E.
Menurut Aidi, penutupan jalan dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan raptai penuh dan hari acara rasmi yang dijadualkan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1.
“Kesesakan jalan raya dijangka berlaku dari pukul 7 pagi hingga 10 pagi sepanjang tempoh istiadat berlangsung.
“Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut akan melaksanakan tembakan meriam sempena raptai penuh dan hari acara.
“Bagi sesi raptai penuh Rabu ini, sebanyak dua das tembakan meriam akan dilepaskan pada pukul 8.30 pagi di lokasi sama.
“Manakala hari acara rasmi berlangsung pada Junaat dengan sebanyak 21 das tembakan meriam akan dilaksanakan bermula pukul 8.30 pagi,” jelasnga.
Sehubungan itu, Aidi berkata, penduduk sekitar dinasihatkan agar tidak panik apabila mendengar bunyi letupan meriam berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Putrajaya di talian 03-8886 2222 atau balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














