JITRA – Hasrat empat lelaki etnik Rohingya untuk melawat kenalan mereka sempena Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian apabila kereta yang dinaiki ditahan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), baru-baru ini.
Kereta jenis Kia Forte itu ditahan dalam Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) di Jalan Kampung Gelong, di sini pada pukul 6 petang Selasa lalu.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, kereta itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan lanjut mendapati pemandunya tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Selain pemandu, terdapat tiga penumpang etnik Rohingya di dalam kereta sama. Mereka dipercayai dalam perjalanan untuk menziarahi kenalan sempena sambutan Aidiladha.
“Susulan kesalahan itu, kereta tersebut disita untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.
Menurut Stien, keempat-empat mereka yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an bekerja sebagai buruh kasar.
“Semakan mendapati kereta tersebut milik warga tempatan dengan cukai jalan dan insurans masih sah. Pemeriksaan di dalam but kereta menjumpai barangan persiapan raya dan peralatan kerja-kerja pembinaan,” ujarnya.
Tambahnya, cermin kereta itu juga didapati gelap dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE














