PETALING JAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar menjadikan semangat Aidiladha sebagai landasan memperkukuh keikhlasan, ukhuwah dan sifat ihsan sesama insan.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, pengorbanan sebenar bukan hanya melibatkan harta dan tenaga, sebaliknya turut menuntut pengorbanan sifat negatif dalam diri.
“Pengorbanan sebenar bukan sekadar pada harta dan tenaga, tetapi juga pengorbanan sifat ego, keangkuhan, kebencian serta segala yang menjauhkan diri daripada rahmat dan reda Allah SWT,” katanya.
Menurut beliau, perkara itu antara inti pati khutbah bertajuk ‘Pengorbanan Menuntut Keikhlasan’ yang didengarnya ketika menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Putra bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, beliau berkesempatan menyertai ribuan jemaah dalam suasana penuh kesederhanaan, keharmonian dan penghayatan takwa kepada Allah.
“Khutbah turut menyeru para jemaah agar terus memperkukuh ukhuwah, menyemai sifat ihsan dan belas kasih sesama insan serta menjadikan semangat pengorbanan sebagai asas dalam membina masyarakat yang bersatu dan saling peduli,” ujarnya.
Tambah beliau, selepas selesai solat sunat Aidiladha, beliau turut meluangkan masa bersalaman dan bertegur sapa bersama para jemaah.
“Moga Aidiladha kali ini memperteguh keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, mempererat persaudaraan sesama insan serta menyuburkan semangat pengorbanan dan keikhlasan dalam setiap amal dan kehidupan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














