fbpx
PENDUDUK dakwa kejadian serangan buaya terhadap seorang lelaki di Sungai Linggi baru-baru ini adalah angkara buaya bernama Comel dan Manja.

Siapa terkam pencari udang, buaya ‘Manja’ atau ‘Comel’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Buaya ganas yang menyerang seorang lelaki berusia 62 tahun di tebing muara Sungai Linggi di Kampung Tanjung Agas di sini kelmarin dipercayai perbuatan dua ekor buaya dikenali penduduk sebagai Manja dan Comel.

Pengerusi Persatuan Pemilik Bot Kampung Tanjung Agas, Hamidun Ramli, 51, berkata, buaya yang sama juga pernah dirakam penduduk ketika reptilia liar itu cuba naik ke atas tebing minggu lalu.

“Dua buaya ini perlu ditangkap sebab bagi kita kali ini serangannya bukan lagi untuk peringatan tetapi ada niat membunuh. Kenapa kita kata ada niat membunuh sebab bila dia sambar kaki dan tarik mangsa ke dalam sungai, mangsa berjaya lepas sebab ada perlindungan kasut keselamatan.

“Bila mangsa merangkak selamatkan diri ke tebing, sekali lagi buaya ini gigit paha mangsa pula. Jadi kita syak buaya ini ada niat bunuh. Kita sudah kenal pasti buaya tersebut sebagai Manja atau Comel berdasarkan ciri-ciri fizikal buaya.

“Kita mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ambil tindakan untuk tangkap buaya ni kerana buaya ni dikhuatiri akan mencari mangsa semula. Buaya ini dianggarkan sepanjang hampir lima meter dengan warna kekuningan.

“Ekornya pula berbelang-belang kuning dan hitam. Buaya-buaya di sungai ini memang ada nama, ada Ujang, Comel, Manja, Kuntum dan Melur. Buaya yang menyerang ini mungkin Comel ataupun Manjam

“Nama samaran pasal kita kenal berdasarkan warna dan saiz. Kalau malam matanya bersinar warna putih, hijau, kuning yang kita suspek ni sinar matanya kuning dan buaya ini juga bersih sebab tu kita namakan Comel dan Manja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Tanjung Agas di sini semalam.

Menurut Hamidun, seminggu sebelum kejadian terbaharu ini, seorang lelaki di Seremban cedera digigit buaya dan pada mulanya mereka berfikir buaya hanya ingin memberikan peringatan.

“Baru-baru ini saya dapat khabar ada pemancing yang telah baling anak-anak buaya dengan batu. Itu yang pertama, yang kedua pula, pemancing telah menyembat menggunakan mata tiga terhadap anak-anak buaya.

“Apabila anak-anak buaya ini diganggu maka berlakulah konflik antara ibu buaya dengan penduduk. Malah, ada juga pemancing yang datang menggunakan umpan isi perut ayam yang mengundang kemarahan buaya tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, kejadian serangan buaya itu juga sebenarnya sudah diberikan petunjuk sejak tiga minggu lalu apabila buaya yang sama sudah berani menghampiri kawasan tebing sungai di muara tersebut.

“Sebelum ini, buaya lalu sahaja dan tidak pernah datang ke tepi tebing. Buaya ini pun tiada konflik dengan manusia tapi tiga minggu lalu, seekor buaya dilihat cuba naik ke tebing dan menghampiri tangga titi,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Hafiz Ishak, 40, berkata, kelibat buaya-buaya yang menghampiri tebing sungai itu pernah dirakamnya sebelum ini iaitu jenis buaya tembaga dan buaya berwarna hitam.

“Saya difahamkan Perhilitan sudah datang ke tempat ini tapi besar harapan saya agar buaya berkenaan dapat dikenalpasti dan pihak persatuan juga mahu buaya berkenaan ditangkap,” katanya.

Bagi Ismadi Dolit, 33, pula, terdapat buaya lebih besar di sungai berkenaan dan mengikut cerita penduduk ada yang sebesar kereta Perodua Kancil, namun, hanya ada masa -masa sahaja buaya berkenaan muncul.

Bagaimanapun menurutnya, dia berharap agar orang ramai tidak takut untuk ke lokasi berkenaan kerana lokasi tersebut merupakan lokasi aktiviti perniagaan penduduk seperti kedai makan dan aktiviti bot.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang lelaki terpaksa bertarung nyawa selepas diseret seekor buaya tembaga dipercayai bersaiz besar ke dalam Sungai Linggi ketika menjala udang seorang diri di Kampung Tanjung Agas, di sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, buaya tersebut menerkam kaki kiri mang sa yang berusia 62 tahun ketika berada di tepi Sungai Linggi.

Menurutnya, buaya itu kemudian menyeretnya ke dalam sungai, namun mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas berpaut pada sebuah batu besar.

Sungai Linggi memang diketahui dihuni buaya tetapi jarang mengganggu penduduk. Minggu lalu, seorang individu luar cedera di serang reptilia itu, namun kes tersebut tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN