PETALING JAYA – Kesesakan luar biasa di pintu sempadan Padang Besar menuju ke Thailand sempena Aidiladha mencetuskan pelbagai reaksi lucu dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi satu hantaran tular di aplikasi Threads oleh pengguna dikenali sebagai @Haffiz.i, dia berkongsi keadaan sesak di kawasan sempadan sambil mempersoalkan sama ada Hatyai masih mempunyai pengunjung ketika musim perayaan tersebut.
“Sesak betul kat sempadan Padang Besar ni. Ada yang nak balik kampung, ada yang nak pergi cuti-cuti, tapi masa Raya Haji, Hatyai ada orang ke?” tulisnya.
Perkongsian itu kemudian mengundang pelbagai komen netizen yang menjelaskan sambutan Aidiladha di selatan Thailand khususnya Hatyai turut diraikan secara besar-besaran oleh masyarakat Islam di sana.
Seorang pengguna dikenali sebagai @missmeknaa berkata penduduk di sana juga pulang ke kampung bagi menyambut perayaan tersebut.
“Dorang pun nak balik raya. Sana raya 28 Mei. Raya dorang lagi meriah dari kita,” katanya.
Turut mencuri perhatian, komen seorang pengguna lain yang berseloroh bahawa kesesakan itu petanda banyak kedai tomyam akan ditutup lama kerana pekerja pulang beraya.
“Ini tanda-tanda kedai tomyam akan tutup lama,” kata Maisarah.
“Akak toye jangan kelik kampung lamo sangat, kami ni kijo hari rayo. Tak lalu make mamok (Akak Tomyam jangan balik kampung lama sangat, kami ni kerja hari raya. Tak lalu makan mamak),” komen Nadvi pula.
Seorang lagi pengguna turut berkongsi pengalamannya yang baru pulang dari Hatyai dan Satun dengan mendakwa kebanyakan premis di sana dijangka mula ditutup sempena sambutan Aidiladha.
“Saya baru balik Hatyai dan Satun, dorang raya Khamis jadi Khamis ramai tak buka,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE s
View on Threads














