fbpx
TERTUDUH diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Staf kesihatan nafi perdaya KKM kes pembekalan alatan klinik RM214,328

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang penolong pegawai perubatan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas 10 pertuduhan berkaitan nota penerimaan palsu pembekalan mesin dan alatan perubatan Klinik Kesihatan dan Klinik Desa membabitkan jumlah keseluruhan RM214,382.

Tertuduh, Azizul Farid Muhammad, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan satu hingga 10, tertuduh yang merupakan penolong pegawai perubatan telah menggunakan dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya satu dokumen iaitu Nota Penerimaan Bekalan dan Perkhidmatan.

Ini yang mana prinsipalnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kepentingan dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butiran matan palsu berkenaan pembekalan mesin dan peralatan perubatan.

Pembekalan itu bagi Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah oleh dua buah syarikat yang mana sebenarnya pembekalan tersebut tidak dilakukan, yang mana pada pengetahuan tertuduh adalah dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di PKD Alor Gajah dalam daerah Alor Gajah antara 19 Jun hingga 29 September 2023 dan bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaydia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari tidak mencadangkan jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau memohon jumlah antara RM40,000 hingga RM50,000 dikenakan bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Mohamad Kamarulzaman Jusoh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan dengan alasan kes berlaku pada tiga tahun lalu dan sepanjang siasatan, anak guamnya telah memberikan kerjasama, selain risiko tertuduh tidak menghadirkan diri tidak timbul susulan dia merupakan penjawat awam.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pendakwaan. Tarikh 14 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN