WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat(AS) menyerang tapak peluru berpandu di selatan Iran dan bot yang cuba memasang periuk api semalam, demikian menurut Markas Perintah Pusat(CENTCOM)
Serangan berlaku ketika perunding utama Iran tiba di Doha untuk pusingan terbaru rundingan bagi menamatkan perang yang berlarutan selama beberapa bulan dan ketika tentera Israel meningkatkan permusuhan dengan Hezbollah di selatan Lubnan.
“Tentera Amerika melancarkan serangan di selatan Iran hari ini (semalam) untuk melindungi tentera kami daripada ancaman yang ditimbulkan oleh tentera Iran,” kata jurucakap CENTCOM, Tim Hawkins dalam satu kenyataan.
Beliau tidak memberikan butiran terperinci mengenai serangan tersebut dan hanya menyatakan bahawa sasaran termasuk tapak pelancaran peluru berpandu dan bot yang cuba memasang periuk api.
Stesen penyiar rasmi Iran, IRIB melaporkan bahawa beberapa letupan kuat kedengaran di sekitar Bandar Abbas, kira-kira pukul 12 tengah malam (waktu tempatan).
Menurutnya, keadaan di bandar pelabuhan selatan Iran itu normal, manakala pihak berkuasa tempatan menyiasat punca letupan tersebut.
Serangan Amerika semalam mengancam gencatan senjata yang bermula pada 8 April lalu, ketika Washington dan Tehran berusaha mencapai persetujuan untuk menamatkan perang yang telah menggugat ekonomi global dengan menjejaskan rangkaian tenaga.
Harapan untuk mencapai persetujuan menerima tamparan sekali lagi apabila Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar ‘menghancurkan’ Hezbollah di Lubnan. Iran menuntut agar sebarang perjanjian damai turut merangkumi penamatan pertempuran di Lubnan. – AFP














