PETALING JAYA – Sebuah kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipercayai telah hanyut sebelum ditemui terdampar di persisiran pantai Mesir, baru-baru ini.
Menerusi video tular yang dimuat naik di TikTok @Adhm Yossef, kapal itu ditemui tanpa sesiapa berada di atasnya, namun memiliki bendera Palestin dan Turkiye selain memaparkan imej Masjid Al-Aqsa.
Difahamkan, kapal itu didapati membawa bekalan kemanusiaan termasuk ubat-ubatan, makanan bayi dan air.
Perkongsian itu sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk meluahkan harapan agar bantuan kemanusiaan dapat sampai kepada penduduk Gaza.
“Semoga kapal lain hanyut sampai ke Gaza,” tulis Miru.
“Bukti kapal GSF ada bawa barang bantuan. Kita doakan Konvoi Sumud Darat berjaya masuk ke Gaza secepat mungkin,” ujar Najwa.
“Saya sentiasa berdoa sekiranya peserta sumud tak sampai ke Gaza, sekurangnya kapal tu dihanyutkan dengan izin Allah sampai ke pantai Gaza,” kata Alfatineh.
Dalam perkembangan sama, terdapat pihak yang mendakwa kapal tersebut dikenali sebagai Ozgurluk dinaiki salah seorang rakyat Malaysia iaitu pakar perubatan Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak GSF yang mengesahkan perkara terbabit.
Terdahulu, sebanyak 39 kapal GSF 2.0 dipintas ketika cuba meneruskan pelayaran ke Gaza, dengan seramai 428 aktivis daripada pelbagai negara ditahan termasuk 29 rakyat Malaysia sebelum kesemuanya dibebaskan. – KOSMO! ONLINE














