JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sedia untuk menurunkan bintang sensasi, Arif Aiman Hanapi dalam misi melakar sejarah menjadi pasukan pertama menjuarai Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut.
Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, Arif Aiman yang telah disisihkan lebih enam bulan susulan kecederaan lutut serius berpotensi membuat penampilan kompetitif pertama sejak November lepas.
Menurut Munoz, semuanya bergantung kepada keadaan semasa pemain berusia 24 tahun itu sama ada bersedia atau tidak untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
“Kami gembira melihat Arif Aiman sudah kembali tetapi kita akan lihat sama ada boleh mendapat sedikit minit permainan. Kita perlu faham bahawa Arif Aiman sudah lama tidak beraksi.
“Sudah tentu dia memerlukan masa untuk pulih dan juga untuk kembali pada tahap seperti yang sudah ditunjukkan olehnya sebelum ini. Tetapi Arif Aiman akan berada dalam senarai untuk perlawanan esok (malam ini),” katanya.
Mengulas mengenai cabaran pada aksi final menentang Kuching City di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, Munoz percaya semua pemain sudah bersedia untuk berikan aksi yang terbaik.
Kata Munoz, perlawanan menentang The Cats pada musim ini sangat sukar selepas pasukannya hanya mampu menang dengan jurang yang tipis pada aksi Liga Super dan Piala FA.
“Setiap perlawanan berbeza tetapi final adalah final. Kita akan berikan yang terbaik pada aksi final kerana ini membuka peluang untuk pasukan melakar lebih banyak sejarah baharu.
“Namun, cabaran kali ini agak hebat kerana Kuching pasukan yang sukar dan kita tahu mereka cukup konsisten selepas mendapat kedudukan kedua musim ini,” katanya.
Sementara itu, penyerang JDT, Bergson da Silva harap rakan-rakan sepasukan tidak memandang rendah pada aksi final selepas pernah dikejutkan Kuala Lumpur City (KL City) pada edisi 2021.
“Saya antara pemain masih kekal ketika tewas kepada KL City 2021 yang masih menjadi kenangan pahit buat kami. Banyak perkara yang kita pelajari selepas itu dan sekarang, kelab ini sudah memiliki identiti yang perlu dijaga kerana membawa nama JDT adalah sesuatu yang besar,” katanya.














