PONTIAN – “Tarik nafas, tahan dan sembelih.”
Itulah petua yang menjadi amalan seorang penyembelih lembu korban, Basar Lamin, 66, sepanjang lebih dua dekad menggalas tanggungjawab besar menyempurnakan ibadah korban.
Basar mengakui pada awalnya dia tidak mempunyai keberanian untuk memegang pisau sembelihan, namun rakannya, Allahyarham Nordin Jelani melihat potensi dalam dirinya untuk menjadi tukang sembelih di Kampung Parit Ibrahim di sini.
Menurut pesara Syarikat Air Johor (SAJ) itu, dia kemudian mengikuti kursus anjuran Jabatan Veterinar dan Pejabat Agama Pontian sebelum memperoleh tauliah rasmi bagi menjalankan kerja penyembelihan.
“Sebagai orang Islam, kita perlu sentiasa berselawat dan melaksanakan tugas ini dengan penuh ikhlas serta niat kerana Allah. Amanah ini adalah fardu kifayah bagi memudahkan urusan peserta ibadah korban.
“Alhamdulillah, sepanjang lebih 20 tahun menjadi tukang sembelih, tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini,” katanya di rumahnya di Kampung Parit Ibrahim di sini semalam.
Menurutnya, setakat ini dia telah menyembelih ribuan ekor lembu termasuk di pusat sembelihan dan di kampung.
Katanya, dia pernah menyembelih antara 60 hingga 75 ekor lembu di pusat sembelihan bermula selepas solat isyak hingga waktu subuh sebelum disambung semula hingga tengah hari.
“Kerja menjadi lebih mudah kerana dibantu petugas yang menumbangkan lembu dan proses sembelihan mengambil masa sekitar 20 hingga 30 saat.
“Bagaimanapun, proses di kampung mengambil masa lebih lama kerana kerja membaringkan lembu dilakukan secara manual,” ujarnya.
Katanya, lembu paling besar pernah disembelihnya seberat 800 kilogram.
“Saya mempunyai empat bilah parang khas untuk kerja penyembelihan yang dibeli daripada pembuat parang tempatan pada harga antara RM300 hingga RM700 sebilah.
“Seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha, saya akan asah parang secara manual bagi memastikan ketajamannya.
“Selepas digunakan, parang ini disimpan di dalam bilik dan tidak digunakan untuk aktiviti lain,” ujarnya.
Basar berkata, kerja di pusat sembelihan biasanya mempunyai kadar bayaran tertentu, manakala di kampung kebiasaannya dilakukan secara sukarela.
“Bagaimanapun, ada peserta korban yang memberi sagu hati sebagai tanda penghargaan kepada tukang sembelih,” katanya.














