SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wisma Putra memaklumkan usaha diplomatik sedang giat digerakkan untuk meningkatkan tekanan antarabangsa susulan penculikan Israel terhadap seramai 428 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, usaha diplomatik itu termasuk melalui kerjasama rapat dengan negara sahabat bagi memastikan semua aktivis dibebaskan segera serta kekal selamat.
“SNCC menyokong penuh ketegasan Kerajaan Malaysia yang mengecam keras insiden pencerobohan terhadap misi kemanusiaan ini.
“SNCC turut menyokong kenyataan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada 18 Mei yang menyifatkan tindakan rejim apartheid Israel terhadap flotila kemanusiaan ini sebagai tindakan lanun dan penyamun di perairan antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi. – KOSMO! ONLINE














