PETALING JAYA – “Ini adalah impian hidup acu. Sejak 18 tahun lagi acu dah bermimpi nak pergi sana.”
Demikian luahan peserta Malaysia, Dr. Liyana yang bahasakan dirinya sebagai ‘acu’ ketika bercerita kepada keluarganya tujuan beliau ingin menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 ke Gaza.
Kata Dr. Liyana, impiannya untuk menjadi sebahagian pasukan yang membantu memerdekakan rakyat Palestin lahir sejak di usia remaja lagi.
“Mimpi acu tak pernah padam sampai sekarang ini. Acu nak dari dulu, tak kira apa pun…apa yang orang cakap, acu tetap nak pergi sana (Gaza),” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik oleh salah seorang ahli keluarga, Farhan Daud di Threads hari ini.
Dr. Liyana turut memberitahu bahawa antara tujuan lain beliau sertai misi GSF 2.0 ini adalah untuk berjumpa dengan seorang individu Palestin bernama Laila.
“Acu nak cari Laila. Acu dah janji nak cari dia di sana. Kata-kata dia yang acu ingat, ‘selain Allah tiada siapa dia harapkan selain acu’. Acu harap misi ini berjaya,” kongsinya.
Dalam hantaran sama, Farhan memaklumkan mereka sekeluarga sempat meluangkan masa bersama Dr. Liyana selepas menunaikan solat berjemaah pada malam sebelum beliau berlepas.
Katanya, keputusan Dr. Liyana untuk menyertai misi berkenaan pada awalnya menerima tentangan daripada ahli keluarga yang bimbang terhadap risiko keselamatan, memandangkan flotila tersebut berdepan ancaman dipintas tentera Israel.
“Momen malam sebelum melepaskan dia untuk join (sertai) Sumud Flotila, kami sekeluarga duduk bersama selepas solat berjemaah.
“Walaupun pada awalnya kami semua membantah kerana risau atas keselamatan beliau, namun kami reda atas permintaannya kerana ini adalah impian terbesar beliau dalam hidupnya untuk sampai ke bumi Gaza,” ujarnya.
Tambah Farhan, penglibatan Dr. Liyana dalam misi berkenaan menjadi bukti masih wujud individu yang benar-benar ikhlas dan prihatin terhadap nasib rakyat Palestin.
“Ini adalah bukti masih ada insan yang ikhlas dan benar-benar prihatin akan Palestin. Allah telah mengatur segala perjalananmu Dr. Liyana,” katanya.
Sebelum ini, Dr. Liyana yang menaiki kapal Amazon merupakan antara 29 peserta Malaysia dalam misi pelayaran kali ini.
Bagaimanapun, kapal yang dinaiki Dr. Liyana bersama peserta global lain telah dipintas tentera Israel dan kini berada di bawah tahanan pasukan rejim Zionis tersebut.
Selain Dr. Liyana, 24 lagi rakyat Malaysia yang telah ditahan termasuklah Zainal Rashid Ahmad (ZRA), Muhamad Muhsin Zaidi, Ahmad Musa Al-Nuwairy dan Al-Ahmad Shah Abdul Kadir atau dikenali sebagai CEO Kapal.
Terdahulu, GSF memaklumkan tentera laut Israel dilaporkan memintas lebih 40 kapal flotila yang dalam misi memecahkan sekatan laut ke atas Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus sejak semalam. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














