SEPANG- Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan seramai 150 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) telah ditahan Israel hari ini dengan melibatkan pemintasan sebanyak 18 buah kapal.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, 18 kapal yang dipintas itu antaranya melibatkan Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaros, Isobella, Tenaz (Freedom Flotilla), Vincovolo serta Bianca ITA.
“SNCC turut mengesahkan sembilan buah kapal melibatkan 16 rakyat Malaysia turut ditahan dalam insiden itu.
“Selain itu, dua kapal yang ditahan Israel melibatkan delegasi Sumud Nusantara Pakistan iaitu Abdul Sattar Edhi Muhammad Saad dan Indonesia, Andi Anga Prasadewa,” katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.
Susulan penangkapan itu, SNCC turut memohon campur tangan Kerajaan Malaysia untuk mendesak negara Kesatuan Eropah, Turkiye, Sepanyol dan lain negara antarabangsa untuk bertindak serta mengecam pencabulan kepada misi kemanusiaan ‘non-violent’ ini.
Malam ini, lapan lagi rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Israel, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan warga Malaysia yang ditahan kini seramai 16 orang.
Terkini, mereka yang ditahan melibatkan kapal Abodes, Gotico, Themis dan Bianca ITA.
Tiga rakyat Malaysia yang menaiki kapal Themis adalah Osman Zolkifli, Hazwan Hazim Dermawan dan Mohd. Shamsir Mohd. Isa, manakala Norazman Ishak pula menaiki kapal Abodes.
Selain itu, penahanan sekitar pukul 7 malam itu turut melibatkan Mohd. Zaid Abdul Karim dan Mohammad Farizzal Rostam yang menaiki kapal Gotico.
Menurut paparan di Sumud Nusantara Tracker, mereka yang baru ditahan ialah Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari dari kapal Bianca ITA. – KOSMO! ONLINE














