PETALING JAYA – Kapal yang dinaiki Pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad dan juga rakan aktivis Malaysia, Muhamad Muhsin Zaidi dipercayai ditahan rejim Israel semasa pintasan kapal dilakukan, ketika ini.
Menerusi rakaman siaran langsung televisyen litar tertutup yang ditayangkan Sumud Nusantara Tracker, Zainal atau dikenali ZRA yang menaiki kapal Amanda, manakala Muhamad Muhsin berada dalam Isobella bersama beberapa peserta lain misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza telah diserang dengan lebih 10 orang tentera Zionis.
Sebelum ini, kedua-dua mereka pernah ditahan pasukan rejim itu ketika pelayaran pertama misi GSF 2.0 pada 30 April lalu berhampiran zon mencari dan menyelamat di perairan Greece.
Bagaimanapun, selepas dibebaskan Zainal dan Muhamad Muhsin sekali lagi tampil untuk meneruskan pelayaran ke Gaza melalui Istanbul, Turkiye. – KOSMO! ONLINE














