KLANG – Seorang lelaki warga emas yang juga pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai merempuh maut dua beradik di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang di sini, disambung reman dua hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, perintah reman ke atas suspek tempatan berusia 75 tahun itu diperoleh daripada Mahkamah Majistret Klang pagi tadi.
“Suspek disambung reman dua hari sehingga Khamis ini dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ringkas hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam Jumaat lalu, dua wanita tempatan berusia 57 dan 62 tahun maut di lokasi kejadian selepas dipercayai dirempuh SUV jenis Mazda CX-5.
Insiden tragis itu turut menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga anak kepada seorang mangsa mengalami kecederaan.
Pemandu SUV itu bertindak melarikan diri sejurus kemalangan sebelum ditahan polis di sebuah kedai makan miliknya, kira-kira pukul 11.40 pagi Sabtu lalu.
Sampel darah suspek turut diambil bagi ujian alkohol dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














