fbpx
AZMAN dituduh menyalahgunakan nombor kad pengenalan milik orang lain untuk membeli petrol bersubsidi di Mahkamah Majistret Baling, hari ini.

Lelaki dituduh guna nombor MyKad orang lain beli petrol bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 13 pertuduhan menggunakan nombor kad pengenalan milik tiga individu untuk membeli petrol pada harga subsidi pada Mac dan bulan lalu.

Tertuduh, Azman Aziz, 53, dari Perak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa berpura-pura menjadi tiga individu lain berusia 23, 25 dan 57 tahun dengan menggunakan nombor kad pengenalan milik mereka untuk membeli kuota petrol bersubsidi di bawah Budi Madani RON95 (Budi95).

Perbuatan tertuduh itu didakwa melibatkan kuota petrol berjumlah 594.459 liter bagi kesemua 13 pertuduhan tersebut sehingga menyebabkan tiga individu terbabit mengalami kerugian kuota subsidi bulanan.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah stesen minyak di Padang Lengkuas, di sini antara 18 Mac hingga 23 April lalu.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 419 KK.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Masniah Dolah.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan berkenaan dan tertuduh membayar jaminan tersebut.

Kes akan disebut semula pada 8 Julai depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN