KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) merakam keterangan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mencetuskan kontroversi selepas dikatakan mengaitkan Saidina Abu Bakar dengan istilah ‘ceti’ ketika menyentuh tentang sistem ekonomi masyarakat jahiliah dalam ceramahnya baru-baru ini.
Nik Muhammad Zawawi mengesahkan perkara tersebut menerusi satu hataran yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya.
“Hadir memberi kerjasama,” tulisnya ringkas hari ini.
Sementara itu, sumber Jaheaik berkata, tokoh berkenaan dipanggil bagi melengkapkan siasatan bersabit kenyataan yang dibuat sebelum ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan serta Seksyen 30 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.
“Selain itu, kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 120 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kerana mencerca agama. Ahli Parlimen Pasir Puteh itu memberi keterangan lebih satu jam sehingga pukul 11.40 pagi tadi,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, polis merakamkan keterangan daripada 65 individu berhubung ceramah kontroversi tersebut termasuk Nik Muhammad Zawawi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia. – KOSMO! ONLINE














