fbpx
Reese menunjukkan kemahiran breaking yang menuntut kekuatan fizikal serta kawalan badan.

Tarian breaking bakal bawa Reese ke Olimpik Belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

B-DANCING atau lebih dikenali sebagai breaking ialah gaya tarian jalanan yang lahir daripada budaya hip-hop di New York, Amerika Syarikat pada tahun 1970-an.

Ia menggabungkan pergerakan berirama, kreativiti serta elemen akrobatik seperti gerak kaki (footwork), gerakan kuasa (power moves), posisi beku (freezes) dan pergerakan berdiri (toprock).

Kini, breaking telah berkembang menjadi sukan kompetitif di peringkat antarabangsa dan diiktiraf di pentas Sukan Olimpik.

Bagi Tia Clarissa Liew Jia-Yi atau lebih dikenali dengan nama panggilan Reese, dia memilih breaking berbanding tarian lain kerana sukakan cabaran dan ingin mencabar had kemampuan diri.

“Berbanding gaya tarian lain, breaking lebih mencabar dari segi fizikal dan teknik, selain sentiasa menawarkan ruang untuk mempelajari kemahiran baharu.

“Elemen ini membuatkan saya tidak mudah bosan dan sentiasa bermotivasi untuk terus berkembang serta meningkatkan tahap diri dalam dunia tarian,” katanya kepada K-Remaja.

Mengulas mengenai perkembangan awalnya dalam dunia tarian, Reese berkata, dia memulakan langkah seawal usia dua tahun dalam balet selepas terinspirasi daripada rancangan, Angelina Ballerina.

Minat itu kemudian berkembang kepada pelbagai cabang tarian termasuk gimnastik berirama, hip-hop, Latin dan kontemporari.

Remaja berusia 17 tahun itu kemudiannya aktif dalam gimnastik berirama hingga berjaya mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa selama lapan tahun.

Namun, perjalanannya terhenti apabila dia terpaksa meninggalkan sukan tersebut akibat kecederaan serius semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kemudian, bekas pelajar Sekolah Antarabangsa Dwi Emas, Shah Alam, Selangor itu mula menceburi dunia breaking, dan masih kekal hingga kini.

Tambah Reese, pengalaman paling bermakna dalam perjalanan tariannya adalah ketika persembahan pertama bersama Zeppo Youngsterz Crew di Ultimate Dance Championship (UDC) 2023.

“Saya sentiasa bercita-cita untuk menjadi sebahagian daripada Zeppo Youngsterz, dan akhirnya saya diberi peluang membuat persembahan bersama mereka.

“Sejak itu, saya terus aktif bersama kumpulan tersebut dan sentiasa bangga menjadi sebahagian daripada keluarga Zeppo Youngsterz,” katanya.

REESE berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Belia Dakar 2026 pada Oktober ini.

Dari segi tekanan, Reese mengakui lebih berdebar ketika battle breaking berbanding persembahan pentas, terutamanya apabila berada di persekitaran yang tidak biasa seperti jenis lantai, cuaca atau muzik.

Menurut Reese, antara inspirasinya dalam dunia breaking adalah jurulatihnya, LegoSam yang disifatkan sebagai seorang berdisiplin dan bekerja keras, selain pernah membawa pulang dua pingat emas Sukan SEA untuk Malaysia.

Selain itu, Pengasas Zeppo Youngsterz, Faris Azim Abd. Karim turut menjadi mentor yang banyak membantu perkembangan Reese dalam arena tarian tempatan.

Dari segi pencapaian, Reese kini berada di kedudukan ranking dunia ke-27 bagi kategori Youth dan Adult dalam breaking.

Reese juga berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Belia Dakar 2026 yang dijadual berlangsung pada Oktober hingga November 2026, sekali gus berada dalam kelompok 12 atlet terbaik dunia.

“Setiap pertandingan bukan sekadar untuk menewaskan lawan, sebaliknya lebih kepada mengatasi diri sendiri agar menjadi versi lebih baik setiap kali turun bertanding.

“Saya turut menyasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Brisbane 2032 jika breaking dipertandingkan.

“Selain itu, saya berharap dapat bersaing di pentas akhir Red Bull BC One apabila mencapai umur kelayakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN