fbpx
Asyhimie yang merupakan Kapten Wanita Pasukan Badminton Varsity Universiti Sains Malaysia (USM) turut meraih pencapaian membanggakan antaranya naib johan 24th IMT-GT Varsity dianjurkan Universiti Thaksin, Thailand (tengah).

Asyhimie impi buka akademi badminton, jadi akauntan bertauliah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERGELAR atlet dan pada masa sama mengejar impian akademik telah mengubah corak hidup Ummu Iffah Asyhimie Hedzree. Gadis berusia 22 tahun itu mahu membuktikan bahawa bidang pengajian yang mencabar tidak menghalangnya aktif dalam sukan badminton di peringkat universiti.

Mengimbau kembali momen awal penglibatannya dalam badminton, gadis yang mesra disapa Asyhimie itu berkata, minatnya dalam sukan tersebut mula dipupuk oleh bapanya sejak berusia lima tahun.

Ujar anak kelahiran Tawau, Sabah itu, bapanya sering mengajak dia bermain badminton di luar rumah seawal pukul 6 pagi iaitu sebelum pergi ke sekolah.

“Saya bangun pukul 6 pagi untuk bermain dengan bapa. Pukul 7 pagi pula saya bersiap untuk ke sekolah.

“Saya juga selalu mengikut bapa bermain badminton setiap minggu bersama rakan-rakannya.

“Melihat kepada minat saya, pada umur tujuh tahun, bapa daftarkan saya masuk akademi badminton untuk berlatih dengan lebih serius.

“Syukur, hasilnya saya berjaya mewakili Sabah pada umur 11 tahun,” katanya ketika di temu bual K-Kampus baru-baru ini.

Kini, anak bongsu daripada tiga orang beradik itu masih aktif bermain badminton dan memegang portfolio besar sebagai Kapten Wanita Pasukan Badminton Varsity Universiti Sains Malaysia (USM).

Hasil disiplin tinggi yang diterapkan sejak kecil, Asyhimie berjaya mengharumkan nama universiti di peringkat antarabangsa.

“Pencapaian terbesar saya sepanjang di universiti adalah meraih naib johan pada 24th IMT-GT Varsity Carnival yang dianjurkan oleh Thaksin University, Thailand.

“Cabaran sepanjang kejohanan itu, saya kena pastikan keadaan fizikal dan mental dalam keadaan terbaik serta mengelak sebarang kecederaan.

“Ini kerana, saya hanya ada jurang masa satu minggu sebelum menghadapi MASUM 2025 di Universiti Malaya,” ujarnya.

Tambah Asyhimie, rutin hariannya sangat padat, di mana waktu pagi dan petang dipenuhi dengan kelas, manakala di sebelah malam pula diperuntukkan untuk mesyuarat, latihan sukan atau sesi sparring (bertanding).

Pada hujung minggu, dia mengambil peluang untuk menjadi jurulatih dalam sesi coaching (bimbingan) badminton bagi menambah duit belanjanya.

“Pengurusan masa sangat penting. Jadi, saya akan buat perancangan dan jadual waktu untuk membahagikan masa antara akademik dan sukan.

“Kejayaan ini tidak datang bergolek. Pengorbanan terbesar saya adalah masa kerana terpaksa mengurangkan masa rehat, bercuti dan aktiviti sosial bersama rakan-rakan demi memberi komitmen penuh pada akademik serta sukan,” katanya.

Lebih membanggakan, biarpun jadual hariannya padat, namun Asyhimie tetap cemerlang dalam pelajaran apabila meraih purata gred (GPA) yang sentiasa konsisten. Malah, dia pernah mencecah gred 3.80 dalam satu semester, sekali gus mencatatkan Purata Himpunan Mata Nilai (PNGK) semasa 3.52 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian).

Bukan itu sahaja, tulang belakang di sebalik kejayaannya adalah keluarga tersayang.

Dia berkata, ibu bapa dan ahli keluarganya telah memberikan sokongan luar biasa, selain jurulatih, pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan yang tidak pernah berhenti menyokongnya.

Dalam pada itu, Asyhimie memaklumkan, dia sudah mempunyai impian yang jelas selepas tamat pengajian kelak.

“Saya merancang untuk mengambil Kursus Kejurulatihan Badminton Kebangsaan Tahap 1 dan meningkatkan kelayakan profesional dengan mengambil program Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) untuk menjadi akauntan profesional bertauliah,” katanya.

Pada masa sama, Asyhimie mahu menceburi bidang keusahawanan sports branding (penjenamaan sukan) serta membangunkan akademi badmintonnya sendiri demi membantu melahirkan atlet yang seimbang dari segi sukan dan akademik.

Sebelum mengakhiri bicara, dia turut menasihatkan rakan-rakan pelajar lain agar tidak ragu-ragu untuk aktif di luar waktu kuliah.

“Jangan sia-siakan bakat yang ada atau takut untuk mencuba kerana penglibatan aktif di luar bilik kuliah akan membantu anda apabila melangkah ke alam pekerjaan nanti.

“Kebolehan menyeimbangkan akademik dan aktiviti luar akan membuatkan kita lain daripada yang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN