PETALING JAYA – Isu semakin panas, anak kepada pelakon Abby Abadi, Marissa Dania Hakim menafikan dakwaan dia sengaja tidak mengundang ibunya ke majlis sambutan ulang tahunnya yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Marissa, 21, berkata, kad jemputan sudah dihantar kepada ibu dan bapa tirinya kerana dia benar-benar mengharapkan kehadiran mereka pada hari istimewa tersebut.
“Saya memang mahu mama ada bersama. Saya sampai menangis di depan Mak Long dan Mak Teh (ibu saudara) kerana terlalu sedih mama tiada.
“Saya pun kurang faham kenapa isu jemputan yang dihantar semula (forward) itu diperbesarkan sedangkan semua tetamu menerima jemputan dengan cara sama daripada pereka jemputan, termasuk papa, abah dan mummy,” katanya menerusi Instagram Story.
Anak kedua daripada tiga bersaudara itu memberikan maklum balas terhadap dakwaan netizen yang menyatakan dia tidak menjemput Abby secara peribadi ke majlis berkenaan.
Pada masa sama, Marissa juga mengakui hubungan dengan ibunya menjadi semakin dingin susulan beberapa salah faham yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Katanya, sebelum timbul isu jemputan, Abby turut berkecil hati apabila dia tidak bertemu ibunya selepas selesai urusan di mahkamah dan hanya bertemu bapanya, Norman Hakim.
“Perkara itu memang tidak dirancang. Sejujurnya saya hanya perlukan sedikit masa untuk bersendirian selepas urusan di mahkamah.
“Kita sebenarnya boleh berjumpa keesokan harinya tanpa perlu menjadikan perkara itu sebagai isu.
“Sejak itu saya rasa hubungan kami semakin renggang walhal dua hari sebelum itu kami baru sahaja berjumpa,” ujarnya.
Sebelum ini, ketiadaan Abby mencetuskan tanda tanya ramai apatah lagi selepas pelakon terbabit meluahkan rasa kecewa tidak menghadiri majlis ulang tahun puterinya itu.
Menerusi satu siri hantaran, bekas anggota Elite itu mendakwa seolah-olah dirinya dipinggirkan ketika insan kesayangan yang dijaga sendirian sejak kecil diulit bahagia.
Rentetan luahan terbuka yang membongkar kembali sejarah pahit lampau, netizen ‘menyerang’ bekas suami, Norman Hakim serta isterinya, Memey Suhaiza di laman sosial. – KOSMO! ONLINE














