TANGKAK – Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghargai sokongan yang diberikan kepimpinan Pas terhadap calon-calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan berharap ia dapat dibuktikan di peti undi pada 11 Julai ini.
Beliau berkata, situasi itu bagaimanapun tidak akan mempengaruhi kerjasama yang telah atau sedang terjalin antara UMNO dan Pas.
“Kita menghormati pendirian mereka dan kita harap sokongan itu benar-benar menjadi kenyataan. Kita lihat di dalam kertas undi yang akan dibuka 11 Julai ini.
“Itu sokongan daripada kepimpinan Pas, kita hargai sokongan itu. Kita tidak merasakan bahawa sokongan itu akan mempengaruhi kerjasama yang akan atau telah dibuat oleh UMNO khususnya dengan Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program ramah mesra bersama masyarakat Cina di sebuah medan selera, di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan ahli dan penyokong parti itu mengundi calon MCA dan MIC di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) bagi menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, arahan yang dikeluarkan kepada ahli dan penyokong Pas adalah jelas memandangkan PN tidak bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.
Ujarnya, strategi tersebut dibuat dalam konteks bagi menjaga hubungan orang Melayu di negeri tersebut.
“Cuma ada juga pandangan dan tindak balas yang mengatakan, kalau macam itu, elok juga kalau UMNO sokong Pas. Jadi seimbanglah,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














