GUA MUSANG – Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas 20 jam bertarung nyawa setelah terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di Jalan Paloh 2, di sini semalam
Mangsa yang berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Gua Musang di sini pada pukul 10.41 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kejadian pada pukul 2 petang itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal SM Sport dari arah Paloh 1 ke Paloh 3 dipercayai merempuh belakang motosikal Honda yang berada di hadapannya.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan. Motosikal itu kemudian dirempuh sebuah motosikal lain jenis Yamaha yang datang dari arah belakang.
“Mangsa yang parah dihantar ke Klinik Kesihatan Chiku 3 sebelum dipindahkan ke Hospital Gua Musang. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 10.41 pagi tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














