TIDAK ramai yang jelas dengan bidang pengajian dan kerjaya di awan biru. Hal ini kerana pengetahuan masyarakat terhad kepada beberapa pekerjaan sahaja seperti juruterbang dan pramugari atau pramugara. Hakikatnya, masih ramai petugas yang terlibat untuk menggerakkan sesebuah kapal terbang itu.
Justeru baru-baru ini, Aviation Career Malaysia (ACM) mengorak langkah progresif dengan menganjurkan acara Aviation Experience Day 3.0 (AED 3.0).
Inisiatif strategik berimpak tinggi itu bukan sahaja berfungsi sebagai acara tahunan, malah sebagai platform membina bakat industri penerbangan negara pada masa depan.
Dianjurkan dengan kerjasama Kolej Antarabangsa MEATECH dan MEATECH Technical Training Centre, AED 3.0 menghimpunkan ekosistem lengkap industri daripada pemain industri, institusi pendidikan hingga generasi yang bakal bergelar profesional dalam bidang tersebut.

pada masa depan.
Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi berkata, acara yang dianjurkan buat kali ketiga itu memberi ruang kepada generasi muda untuk memahami dengan lebih mendalam bagaimana industri penerbangan berfungsi, dan peluang kerjaya yang tersedia.
“Dalam perkembangan industri penerbangan global yang semakin kompetitif, AED 3.0 muncul sebagai satu inisiatif.
“Ia bukan sekadar acara pendedahan kerjaya tetapi sebagai platform transformasi yang menghubungkan dunia pendidikan dengan realiti industri sebenar.
“Kami bawakan pakar-pakar industri untuk berkongsi mengenai potensi sebenar dalam bidang penerbangan yang masih ramai tidak tahu terutama pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih tercari-cari bidang pengajian di menara gading.
“Selama ini, ramai yang beranggapan industri penerbangan hanyalah juruterbang.
“Hakikatnya, terdapat ramai ‘hero’ di belakang tabir yang memastikan segalanya beroperasi dengan sempurna,” katanya ketika ditemui di Shah Alam Convention Centre (SACC), Selangor baru-baru ini.
Sehubungan itu, ACM memposisikan diri sebagai ‘jambatan’ penting untuk membina laluan kerjaya yang lebih jelas kepada generasi muda bagi membantu mengembangkan cita-cita mereka.
Tambahnya, penganjuran AED 3.0 pada kali ini mengangkat tema ‘#NextGenExpert’ yang merupakan refleksi kepada visi ACM dalam melahirkan generasi profesional untuk industri global.
Sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan hubungan antara bakat, pusat latihan dan industri, ACM-MEATECH telah melantik Kapten Mushafiz Mustafa sebagai Penasihat Industri Penerbangan.

Selangor baru-baru ini.
Azizulhakim berkata, pelantikan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu inisiatif penting dalam membina ekosistem pembangunan bakat yang lebih tersusun, relevan dan berimpak tinggi selari dengan keperluan industri penerbangan global.
Sementara itu, Ketua Program Pengurusan Penerbangan Kolej MEATECH, Che Rozaina Azizan berkata, pihaknya menyediakan ekosistem lengkap untuk pelajar dan mengutamakan kebolehpasaran graduan.
“Pelajar bukan sahaja dilatih secara teori tetapi turut ditempatkan dalam latihan industri yang menyediakan ruang penempatan pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Di MEATECH, kami menyediakan pelbagai bidang pengajian berkaitan penerbangan seperti Diploma Penyelenggaran Teknologi Pesawat, Diploma Pengurusan Kargo Udara, Diploma Pengurusan Operasi Lapangan Terbang dan Ijazah Pengurusan Penerbangan.
“Selain itu, kerjaya ini juga terbuka luas kepada mereka yang meminati bidang teknikal dan vokasional menerusi Sijil Kemahiran Malaysia,” katanya.
Jelasnya, ekosistem industri penerbangan sangat besar, maka permintaan terhadap tenaga kerja mahir semakin meningkat, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.














