fbpx
Beraksi di pentas sebuah konsert, keupayaan Lan mengawal momentum persembahan  selayaknya dipuji. – AFIQ RAZALI

‘Mula nak menangis, tak senang kami semua buang ego’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TARING masih berbisa dan menyengat! Itu yang penulis dapat rasakan lebih dua jam ‘menggila’ pada konsert Kristal OG – 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.

Membuka pentas dengan mengimbau memori menerusi koleksi album pertama sehingga ke-13, sememangnya kumpulan yang ditubuhkan sekitar tahun 2001 itu layak mengadakan sebuah konsert berskala besar.

Membuka tirai sekitar pukul 8.30 malam, Zepp KL dibanjiri dengan peminat yang segelintirnya tampil dengan imej rambut panjang, gaya ‘rockers’ tahun 1990-an. Menggamit memori.

Persembahan dibuka dengan penuh bertenaga dengan nyanyian tanpa henti menerusi segmen Putus Kepala dengan dendangan lagu Merdeka Di Minda Sfera, Tak Naik Tocang, Motor Satu Roda dan Resam Pak Belalang. 

Baru sahaja segmen pertama, Kristal berjaya menjerat peminat agar tidak berganjak dan mata terus tertumpu pada persembahan mereka.

Memasuki segmen kedua iaitu Tenang Tak Kalut, lebih kepada lagu yang temponya lebih tenang sekaligus meredakan adrenalin penonton yang bergerak deras sejak konsert bermula.

Mengakui terharu dengan sambutan hebat peminat, Lan selaku vokalis berkata dia hampir menitiskan air mata sebelum konsert bermula.

“Mulanya rasa nak menangis di belakang pentas.

“Bukan mudah untuk menggabungkan semua ego di atas pentas yang sama tetapi demi konsert ini, kami semua bersatu,” katanya.

DIDUGA dengan pelbagai isu termasuk penolakan seorang bekas teman seperjuangan bukan penghalang untuk aksi cemerlang Kristal di Zepp KL.  

Tanpa berlengah, Lan seperti tidak mengenal erti penat terus menghangatkan acara apabila tampil berdangdut dengan penonton menerusi segment Rockdut.

Dalam segmen tersebut, susunan muzik beberapa buah lagu seperti Janji, Penasaran dan SMS dimasukkan elemen dangdut, satu Zepp KL turut bergelek!

Adrenalin penonton kembali memuncak apabila lagu Persoalan, Bersalin Kulit, Dejavu dan Selagi Ada Rindu didendangkan.

Relevan

Emosi penonton pada malam tersebut seperti dibawa menaiki ‘roller coaster’, sekejap ‘head banging’ kemudian dihidangkan lagu jiwang karat, itulah keistimewaan konsert tersebut.

Ujar Lan, konsert tersebut merupakan hadiah buat peminat yang tidak pernah berhenti menzahirkan sokongan buat mereka sejak 25 tahun lalu.

“Ini istimewa buat mereka yang sentiasa menyokong Kristal meski sudah macam-macam yang berlaku seperti pertukaran ahli kumpulan.

“Konsert ini juga tanda penghargaan kerana sentiasa bersama kami sejak zaman kaset, CD, radio dan sehingga zaman digital.

“Alhamdulillah kami masih lagi relevan dalam kalangan peminat Kristal, terima kasih,” tuturnya.

Masih belum menutup konsert, emosi penonton dihanyutkan perlahan-lahan menerusi segmen akustik yang merangkumkan beberapa buah lagu seperti Retorik Cinta, Luahan Hati, Yang Ku Cinta dan Cinta Tiga Segi.

Tidak lengkap acara tanpa segmen ‘tribute’ buat sifu mereka, Datuk Awie yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang dua dekad perjalanan Kristal dalam dunia seni tanah air.

Penghormatan diberikan buat Awie apabila Lan menyanyikan beberapa buah lagu popular iaitu Tragedi Oktober, Bernafas Dalam Lumpur, Hukum Karma dan Bujang Senang.

Meski tidak berpeluang hadir ke konsert tersebut, Awie sempat menitipkan ucapan tahniah dan kata-kata semangat buat Kristal menerusi sebuah video.

Tiba di penghujung acara, pentas ditutup dengan lagu Delaila dan Seragam Hitam sekali gus melengkapkan malam penuh bersejarah buat Kristal.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN