LONDON – Impian Lewis Hamilton untuk memburu gelaran dunia kelapan bersama Ferrari semakin sukar direalisasikan apabila bekas jurutera Ferrari dan Mercedes, Aldo Costa percaya prestasi pelumba Britain itu mula menunjukkan tanda-tanda penurunan.
Costa yang pernah bekerja rapat dengan Hamilton ketika era dominasi Mercedes mengakui dia mahu melihat juara dunia tujuh kali itu mencipta sejarah baharu bersama Ferrari, namun faktor usia menjadi penghalang terbesar buat pelumba berusia 41 tahun tersebut.
Menurutnya, setiap pelumba Formula Satu (F1) pasti akan melalui fasa kemerosotan prestasi dan situasi itu dianggap sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam karier seseorang pemandu.
“Dari sudut emosi, saya memang mahu melihat dia akhirnya mencapai impian memenangi gelaran dunia kelapan bersama Ferrari.
“Namun, pada usia 41 tahun, saya rasa setiap pelumba akan sampai ke satu tahap di mana prestasi mereka mula menurun sedikit demi sedikit,” katanya.
Hamilton menyertai Ferrari musim lalu selepas meninggalkan Mercedes dengan harapan mampu kembali mencabar kejuaraan dunia susulan perubahan regulasi baharu F1 yang menyaksikan dia bergelut sejak era jentera ‘ground effect’ diperkenalkan pada 2022.
Bagaimanapun, musim pertamanya bersama Ferrari tidak berjalan seperti dirancang apabila gagal meraih sebarang podium perlumbaan Grand Prix (GP) sebelum menamatkan kemarau itu dengan penamat ketiga pada GP China musim ini.
Ketika ini, Hamilton menghuni kedudukan kelima carta kejuaraan pemandu dan sudah ketinggalan 49 mata di belakang pendahulu keseluruhan, Kimi Antonelli selepas empat pusingan musim 2026. – AGENSI














