BAKAL mengukir sejarah sempena ulang tahun empat dekad dalam industri muzik, Datuk Awie menyifatkan konsert berskala mega, Awie Rock King – Last Man Standing 2026 pada 12 September depan sebagai gelanggang menghimpunkan kesemua penyokong setia.
Lebih signifikan apabila Stadium Merdeka yang pernah menjadi lokasi sambutan ke-30 tahun kumpulannya, Wings sekali lagi akan menjadi saksi bagi momen berharga itu.
Menurut Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, 57, setiap perincian termasuk premis bagi konsert berskala mega itu mempunyai nilai sentimental secara peribadi serta mereka yang mengikuti jalur pengembaraannya sama ada secara solo mahupun sepanjang dengan Wings.
“Sejujurnya konsert ini merupakan penghargaan besar terhadap perjalanan seni saya yang mencecah lebih empat dekad dalam industri muzik tanah air.
Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah refleksi kepada jatuh bangun serta evolusi yang saya dilalui sepanjang tempoh ini.
“Semua ini adalah berkat sokongan peminat sejak era awal bersama Wings, perjalanan solo, sehingga kini dan setiap fasa membentuk diri saya untuk lebih matang dan kuat dalam menghadapi perubahan industri muzik,” katanya usai sidang media konsertnya, baru-baru ini.

AWIE kembali bekerjasama dengan Bombay yang sudah cukup lama saling menyokong sejak berpuluh tahun lalu.
Berharap acara besar tersebut menjadi sebuah pengalaman bermakna, akuinya hari bersejarah itu diimpikan bakal menyuburkan legasi muzik rock agar terus relevan dalam jiwa peminat pelbagai generasi.
Layak
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bombay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau Bombay selaku penganjur berkata, konsert berkenaan juga dijangka akan menjadi antara persembahan paling bersejarah dalam industri muzik tempatan apabila menghimpunkan elemen muzik, naratif dan produksi berskala besar di sebuah pentas ikonik.
“Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan Awie dalam penganjuran konsert berskala besar iaitu dari era Wings, kemudian ke perjalanan solo Awie, sehingga kembali ke pelbagai fasa evolusi seninya.
“Tajuk ‘Last Man Standing’ juga membawa simbolik kepada perjalanan seni Awie yang penuh keteguhan melalui jatuh bangun, perubahan era serta transisi daripada kumpulan ke solo dan pelbagai fasa dalam industri muzik.
“Gelaran ‘Rock King’ pula melambangkan sumbangan besar Awie dalam membawa satu era baharu bagi genre rock di Malaysia, sama ada sebagai penyanyi berkumpulan mahupun solo,” ujarnya.
35 lagu
Menurut Zamberi lagi, berdasarkan perancangan persembahan tersebut bakal dimeriahkan kemunculan ramai penyanyi jemputan termasuk dari Indonesia dengan secara keseluruhan membabitkan 35 buah lagu.
“Jika dihitung Awie akan diiringi lebih 25 pemuzik termasuk anggota Wings selain beberapa penghibur lain selaku penyanyi undangan.
“Konsert juga menghimpunkan rakan seperjuangan generasi lama dan baharu membawakan karya ikonik Awie adalah tanda penghormatan terhadap legasinya.
“Ini juga sebuah ‘tribute’ kepada perjalanan 40 tahun seninya, sekali gus bakal meninggalkan momen manis kepada semua,” katanya.
Pembelian tiket serendah RM98 atau ingin mendapatkan sebarang maklumat tambahan boleh diperolehi melalui platform iLasso Tickets.














