MINAT mendalam terhadap dunia media sejak usia remaja menjadi pemangkin semangat buat Nur Husnina Zahra Hadri, 23, untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Hakikatnya, perjalanan akademik gadis yang mesra disapa Husnina itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia pernah mendapat keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan ketika di sekolah menengah.
Bagaimanapun, gadis berasal dari Seri Kembangan, Selangor itu berjaya membuktikan bahawa kegagalan di bangku sekolah bukan penghalang untuk mencipta kejayaan lebih besar dalam kehidupan.
“Ketika di sekolah, saya tidak sehebat rakan-rakan lain. Keputusan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) saya amat membimbangkan.
“Namun, saya mula membuka mata selepas melihat kejayaan senior sekolah yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya kepada K-Kampus.
Dorongan untuk mengubah kehidupan turut hadir daripada keluarga, khususnya ibunya yang memperkenalkan bidang komunikasi massa kepadanya sejak berusia 14 tahun.
“Mama sebenarnya bercita-cita untuk bekerja dalam bidang kewartawanan. Jadi, saya memilih untuk merealisasikan impiannya.
“Rakan-rakan juga banyak memberi sokongan kerana mereka nampak potensi saya dalam bidang ini,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Usahanya mula membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester ketika diploma, sebelum menamatkan pengajian dengan Anugerah Naib Canselor pada April 2024.
Katanya, pencapaian itu membuktikan dirinya juga mampu berdiri seiring dengan pelajar lain yang pernah dikaguminya sebelum ini.
“Dulu, saya tidak pernah terfikir akan sampai ke peringkat sarjana muda. Pejam celik, pejam celik, kini saya sudah sampai di semester enam.
“Saya berjaya membuktikan bahawa setiap orang mempunyai peluang untuk berjaya jika terus berusaha,” ujarnya.
Selain cemerlang dalam akademik, Husnina turut aktif menyertai pelbagai program universiti bagi meningkatkan kemahiran diri, khususnya dalam bidang komunikasi serta kewartawanan.
Menurutnya, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti luar bilik kuliah amat penting bagi membantu membentuk kemahiran insaniah yang sukar diperoleh melalui pembelajaran teori semata-mata.
“Melalui program universiti, persatuan dan aktiviti sukarelawan, pelajar dapat bekerja dalam kumpulan, mengurus masa dan menyelesaikan masalah dengan lebih baik.
“Semua pengalaman ini sangat membantu apabila memasuki alam pekerjaan nanti,” katanya.
Sebagai pelajar kewartawanan, dia percaya, pengalaman mengendalikan program dan berinteraksi dengan masyarakat banyak meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi.
“Mempelajari bidang ini juga telah membuka perspektif dan memberi pengalaman baharu dalam dunia media massa,” katanya.
Ketika ini, Husnina sedang menjalani latihan praktikal di Unit Komunikasi Korporat, Universiti Putra Malaysia selama hampir enam bulan sebelum bergelar graduan tidak lama lagi.














