fbpx
Kim Khairii akhirnya mengesahkan sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita asal Sabah dan kini memiliki seorang anak lelaki. - SADDAM YUSOFF

Kim Khairii dedah dah nikah wanita Sabah, ada seorang anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Teka-teki mengenai status perkahwinan peserta program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Kim Khairii akhirnya terjawab apabila dia secara terbuka mengesahkan sudah mendirikan rumah tangga.

Enggan berselindung, Kim atau nama sebenarnya Muhammad Daniel Khaqim Mohd. Khairi, 23, menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak menghebahkan perkara tersebut adalah bagi menghormati privasi keluarganya.

“Betul saya dah kahwin. Saya sudah mendirikan rumah tangga tahun lalu.

“Saya pilih untuk menjaga privasi, yang penting sekarang orang dah tahu saya sudah berkahwin,” katanya kepada Kosmo! Online pada konsert kelima TTMM2, semalam.

Bercerita lanjut, anak kepada penyanyi Safura itu mendedahkan perkenalan selama empat tahun bersama pilihan hatinya itu kini diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata sulung.

“Saya sudah mengenalinya selama empat tahun sebelum berkahwin. Kami juga sudah ada seorang cahaya mata lelaki berusia empat bulan.

“Saya memilih untuk merahsiakan dalam media sosial dan tidak berkongsi sebarang foto bersama isteri dan anak.

“Lagipun isteri saya tidak selesa sekiranya wajahnya dikongsi kepada umum,” ujarnya.

Tambahnya, isterinya yang berasal dari Sabah itu pernah berkecimpung dalam dunia hiburan sebelum ini dan tidak menghalang dirinya untuk menyertai industri seni.

“Isteri saya juga dulu seorang penyanyi, pernah jadi artis rakaman tetapi sekejap sahaja. Selepas itu dia bekerja luar daripada bidang seni.

“Saya hanya boleh beri bayangan isteri saya berasal dari Sabah. Alhamdulillah dia menyokong perjalanan saya dalam TTMM.

“Isteri hanya pesan untuk jaga diri sebab sekarang ini sudah dua bulan dia di Sabah.

“Insya-Allah kalau maşuk peringkat akhir mungkin isteri akan datang menyaksikan persembahan saya,” jelasnya.

Disoal sama ada bimbang perkongsian tersebut akan menjejaskan populariti, Kim reda dengan sebarang ketentuan memandangkan niat utamanya hanyalah untuk berkarya.

“Saya rasa peminat tidak perlu ‘frust’ (kecewa) bila tahu saya sudah berkahwin sebab saya menyanyi untuk menghiburkan anda semua.

“Kalau perkara (perkahwinan) ini menyebabkan hilangnya peminat, saya reda.

“Saya tak perlu nak sorok status kerana macam mana sekali pun orang akan tahu juga nanti,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna Threads tampil mendakwa Kim sudah mendirikan rumah tangga.

Malah, individu berkenaan mendakwa pernah menonton video ibu Kim menyanyi di majlis pernikahannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN