PETALING JAYA – Pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta menyarankan anak perempuannya Aaisyah Dhia Rana memilih kerjaya yang mampu memberi kestabilan dalam hidup seperti menjadi seorang usahawan berbanding pekerjaan sebagai selebriti.
Menurut Che Ta, 53, saranan tersebut kerana enggan Aaisyah, 12, melalui kehidupan sukar sebagai anak seni yang pada akhirnya perlu menjalankan bisnes demi kelangsungan hidup.
“Saya bagi penampar nanti. Tidak perlu nak jadi pelakon atau penyanyi.
“Tak ke mana pun jadi pelakon atau penyanyi, hujung-hujung mak awak ini kena berniaga juga.
“Jadi ustazah — kalau tak mahu, jadi usahawan wanita yang berjaya. Saya mahu awak jadi ustazah,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Tambahnya, dia dan suami yang juga pelakon Zain Saidin enggan anak-anaknya menjalani kepayahan hidup sebagai seorang selebriti seperti yang sudah dilaluinya sebelum ini.
“Jadi ustazah sejuk sikit perut mommy dengan daddy.
“Tak payah jadi artis, mommy dengan daddy sudah lalui, hujung-hujung kena cari cabang lain demi meneruskan kehidupan yang selesa,” ujarnya.
Sementara itu, Aaisyah pula memberitahu ibunya tidak boleh menentukan hala tuju hidup dan perkara yang sepatutnya dilakukan.
“Ini perjalanan hidup saya, bukan awak.
“Mummy tidak boleh beritahu apa yang saya perlu buat atau mahu jadi,” katanya berseloroh. – KOSMO! ONLINE














