KLANG – Perjalanan dua beradik keluar makan malam dengan berjalan kaki berakhir tragedi apabila maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian langgar lari di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang di sini, semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 7.40 petang itu mengakibatkan mangsa wanita tempatan berusia 57 dan 62 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga anak seorang daripada mereka cedera.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, insiden berlaku apabila sebuah SUV berwarna perak dari arah Jalan Meru ke Bandar Baru Klang hilang kawalan lalu merempuh tiga pejalan kaki di bahu kiri jalan.
“Pemandu kenderaan itu bagaimanapun bertindak melarikan diri sejurus kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














