SEGAMAT – Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan menggunakan ‘pintu belakang’ bagi melantik mana-mana calon yang tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau memegang jawatan dalam kerajaan negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, calon yang gagal mendapat mandat rakyat perlu menerima keputusan itu dengan terbuka kerana kemenangan dan kekalahan ditentukan oleh pengundi.
Menurut beliau, BN tidak akan sesekali memperkenalkan kaedah pelantikan tertentu bagi membolehkan calon yang tewas terus berada dalam pentadbiran negeri.
“Saya tegaskan sekali lagi tidak akan berlaku lantikan ‘pintu belakang’ dengan melantik calon yang kalah menjadi pemimpin dalam kerajaan negeri seperti yang didakwa sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kita bukan seperti DAP. Calon kalah, dia lantik sebagai senator (ADUN lantikan). Kita (BN), jika calon kalah, dia kalah. Jika rakyat tidak terima, BN akan akur dengan suara rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera BN bagi Dewan Undangan Negeri Kemelah dan Pemanis, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Perhubungan BN Johor berkata, calon yang tewas tidak sepatutnya mewakili suara rakyat kerana mereka tidak dipilih melalui proses demokrasi.
Menurutnya, pendirian tersebut penting bagi memastikan BN terus dilihat sebagai parti yang menghormati mandat rakyat dan mengekalkan kepercayaan pengundi terhadap parti itu. – KOSMO! ONLINE














