fbpx
MOHAMAD (tiga dari kanan) beramah mesra dengan penduduk di kawasan DUN Simpang Jeram ketika hadir untuk sarapan pagi bersama pengundi di Warung Cenderawasih, Jalan Sungai Abong, Muar hari ini. Foto ADNAN IBRAHIM

PRN Johor: Tunggu malam 11 Julai, baru tahu siapa betul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Dakwaan Barisan Nasional (BN) berdepan kesukaran untuk memenangi 40 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 terutama di kawasan majoriti pengundi Cina disifatkan sebagai andaian yang terlalu awal dan bersifat subjektif.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau enggan melayan spekulasi sedemikian sebaliknya meminta semua pihak menunggu keputusan rasmi pada malam 11 Julai nanti.

Menurut beliau, perkembangan kempen yang berlaku ketika ini memperlihatkan petanda positif khususnya daripada pengundi masyarakat Cina yang dilihat semakin terbuka menerima kehadiran calon BN.

“Apa yang saya nampak, mereka sanggup keluar dari kedai untuk menyambut calon, bersalam dan bertanya khabar. Tidak seperti sebelum ini apabila ada yang enggan keluar ketika kita melalui premis mereka.

“Itu satu petanda yang positif kepada calon-calon BN yang bertanding dan kita harap sokongan itu dapat diterjemahkan dalam bentuk undi pada hari pengundian nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program sarapan pagi bersama pengundi di Warung Cenderawasih, Simpang Jeram di sini hari ini.

Mengulas isu perbezaan pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, Mohamad berkata perkara itu bukan sesuatu yang boleh menggugat kestabilan politik atau kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN