KULIM – Kegiatan pengedaran dadah di Langkawi tidak sampai ke tahap yang boleh disamakan dengan rangkaian kartel antarabangsa seperti dikaitkan dengan figura jenayah terkenal, Pablo Escobar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan istilah seperti hab dadah serta perbandingan sedemikian dianggap keterlaluan, namun beliau mengakui bahawa pihak berkuasa sentiasa menjalankan risikan dan pengintipan terhadap aktiviti pengedaran dadah di pulau berkenaan.
“Saya tak guna hab dadah, itu istilah media, Pablo Escobar dan segala macam. Sebenarnya saya nak sebut, ia tak adalah sampai tahap itu. Pablo Escobar ini orang kata kepala sindiket yang satu dunia kenal kerana operasinya begitu sofistikated, mengawal seluruh instrumen bekalan, pengedaran, mangsa, ugutan dan ‘organized crime’.
“Yang ini tak ada pun di Langkawi. Tak adalah sampai tahap magnitud macam itu sekali,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Khidmat Masyarakat beliau di Taman Sejahtera, Lunas di sini hari ini.
Sementara itu, kata beliau, tindakan polis bukan hanya dilakukan selepas sesuatu isu didedahkan media, sebaliknya hasil risikan dan pemantauan berterusan yang dijalankan pasukan keselamatan.
“Kita bertindak atas semua maklumat perisikan dan pengintipan yang kita ada, bukannya hanya setelah media dedahkan. Pengintipan berlaku sepanjang masa dan apabila sampai masa yang memerlukan serbuan serta tindakan dibuat, maka kita laksanakan penguatkuasaan,” ujarnya.
Saifuddin berkata, polis juga tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mendapati wujud elemen jenayah terancang atau penglibatan anggota penguat kuasa dalam kegiatan tersebut.
“Kalau ada elemen ‘organized crime’, kita akan siasat mengikut peruntukan undang-undang. Kalau ada penglibatan anggota penguat kuasa sekali pun, tindakan akan diambil tanpa berselindung,” katanya.
Sementara itu, mengulas cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya polis menembak pengedar dadah, Saifuddin berkata, isu dadah perlu ditangani secara rasional dan menyeluruh, bukannya dengan kenyataan populis semata-mata.
Katanya, Kedah sememangnya antara negeri paling serius berdepan masalah dadah terutama melibatkan kes di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya iaitu kesalahan berulang.
“Kedah ini boleh dikatakan pingat emas bagi kes Seksyen 39C, iaitu ‘habitual offender’. Maksudnya ditangkap, dibawa ke mahkamah, dihukum, keluar dan ditangkap semula atas kesalahan sama.
“Jadi kita kena duduk dengan kepala yang lebih dingin, lebih rasional dan objektif. Ia tak semudah dengan mengungkapkan ‘tembak’ itu dapat menyelesaikan masalah,” katanya.- KOSMO! ONLINE














