SEREMBAN – Beberapa perincian berhubung pelaksanaan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) masih diperhalusi kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri sudah bersetuju memberi laluan kepada lepasan UEC mengikuti program tertentu di IPTA dengan syarat lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“UEC telah keluar semalam. Keputusan kabinet dengan syarat Bahasa Melayu dan Sejarah diterima. Jadi kita beri ruang walaupun mungkin dengan beberapa kursus dulu.
“Saya tidak terima semua, cuma ada beberapa perincian yang sedang dibincangkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Hari Belia Negara (HBN) Tahun 2026 di Bandar Sri Sendayan, Seremban di sini, hari ini.
Menurut beliau, keputusan itu dicapai selepas sekolah-sekolah aliran Cina menerima syarat yang ditetapkan kerajaan.
“Kerana dulu hal ini tidak dipersetujui. Sekarang bila sekolah-sekolah beraliran Cina terima, jadi kita pun terima baik,” katanya.
Anwar berkata, syarat sama turut dikenakan terhadap lepasan sekolah aliran Arab, sekolah menengah tahfiz dan sekolah antarabangsa yang melibatkan pelajar Malaysia.
Katanya, semua calon perlu lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat SPM sebelum dipertimbangkan memasuki IPTA.
Terdahulu, media melaporkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.- KOSMO! ONLINE














