fbpx
Anwar beramah mesra dengan kanak-kanak sewaktu lawatan kerja beliau ke Pulau Banggi, Sabah hari ini. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI

Anwar umum projek pembangunan lebih RM33 juta untuk Pulau Banggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan bernilai lebih RM33 juta bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memenuhi keperluan asas penduduk Pulau Banggi, Sabah.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap di Karakit dalam lawatan kerja ke pulau berkenaan hari ini.

“Peruntukan khas melebihi RM31 juta disalurkan menerusi Kerajaan Madani dan Jabatan Perdana Menteri melibatkan pelbagai projek infrastruktur asas yang sebahagiannya telah mula dilaksanakan.
“Antara projek terbabit ialah menaik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung termasuk Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut,” katanya di laman sosial.

Selain itu, projek lain melibatkan naik taraf Balai Polis Pulau Banggi, penambahbaikan Klinik Kesihatan Karakit, naik taraf asrama sekolah di Banggi dan Balambangan serta projek keselamatan dan pertahanan negara.

Turut dilaksanakan ialah projek menaik taraf Jeti Awam Karakit kepada terminal feri bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan penduduk.

Dalam masa sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2.25 juta bagi beberapa projek baharu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.25 juta diperuntukkan untuk program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sementara itu, RM1 juta lagi disalurkan bagi menaik taraf jeti di Kampung Dogoton untuk manfaat penduduk kampung serta agensi penguatkuasaan.

“Insya-Allah, ikhtiar ini bukan sekadar menambah baik kemudahan asas, tetapi memastikan rakyat di pulau terpencil ini menikmati pembangunan yang lebih adil, selesa dan bermaruah.

“Terpencil tetapi tidak sesekali terpinggir. Itu janji saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN