SEGAMAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang lagi dan bakal melancarkan Program Madani Kita dengan membawa harapan Memaknai Harapan Rakyat, Memperkukuh Komuniti MADANI di Segamat, hari ini.
Program Madani Kita dibuat beberapa hari selepas kehadiran beliau ke Bukit Gambir, Tangkak pada Isnin lalu bagi mengumumkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Kunjungan kali kedua beliau dalam tempoh tiga hari ke Johor ini bagi menyantuni warga Segamat melancarkan Program MADANI KITA bersama-sama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dataran Segamat.
Program diadakan sebagai platform memperkukuh semangat kejiranan, mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum serta menyebarluaskan inisiatif dan manfaat kerajaan kepada rakyat.
Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri program “Jom! Makan Durian” bersama-sama komuniti setempat di Tapak Bazar Yayasan, Segamat pada 6.30 petang, sekali gus mendekati masyarakat dalam suasana yang lebih santai.
Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam mendekati rakyat serta memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan komuniti.
Pelbagai pengisian menarik bagi warga Segamat termasuk pameran perkhidmatan kerajaan, aktiviti komuniti, program kesejahteraan rakyat serta peluang untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai inisiatif Kerajaan MADANI.
Terdahulu pada Isnin, Anwar mengumumkan senarai penuh nama calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdiri daripada 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, 7 Julai bagi hari pengundian awal dan 11 Julai bagi hari pengundian.- KOSMO! ONLINE














