KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu golongan mahasiswa menjadi generasi baharu yang menolak politik perkauman sempit demi memastikan masa depan negara lebih harmoni dan stabil.
Beliau berkata, anak muda perlu tampil sebagai kekuatan baharu yang mampu menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Menurutnya, mahasiswa juga perlu memainkan peranan penting dalam membawa perubahan positif kepada negara melalui pendidikan dan pemikiran matang.
“Masa depan itu bergantung kepada kesediaan anak muda untuk menolak tembok perkauman sempit dalam politik picisan.
“Bangkit sebagai satu kekuatan baharu. Masalah negara ini adalah masalah kita bersama dan mesti diselesaikan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya hari ini.
Anwar berkata, konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan kerajaan memberi penekanan terhadap keadilan sosial serta kebajikan rakyat merentasi kaum.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak terjebak dengan budaya kebencian serta sentimen melampau yang semakin menular di media sosial.
Katanya, dunia kini sedang menyaksikan kebangkitan golongan ekstremis sayap kanan atau ‘Far Right’ di beberapa negara maju termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.
Menurut beliau, kelompok tersebut menggunakan sentimen kaum dan agama secara berlebihan sehingga mencetuskan kebencian terhadap masyarakat lain.
“Pendidikan itu bukan sekadar untuk mendapatkan ilmu, tetapi untuk menyebarkan kebenaran dan menegakkan keadilan melalui perbincangan yang rasional, bukan kebencian dan fitnah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan bahawa generasi muda mampu menerima konsep Madani dan terus mempertahankan hak serta kebajikan setiap rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














