GEORGE TOWN – Polis sedang menunggu laporan analisis data forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung siasatan terhadap seorang lelaki dikenali sebagai Lucas Liam yang didakwa memuat naik hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Facebook pada 2 Mei lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, barangan kes termasuk telefon bimbit milik suspek telah dihantar kepada MCMC bagi tujuan analisis forensik digital.
“(Laporan analisa) ini mungkin akan memakan masa sikit kerana apabila kita hantar (barang kes) mereka (MCMC) kena buat analisa juga.
“Kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tetapi mereka minta kita tunggu dahulu hasil laporan daripada MCMC.
“Apabila kita dapat laporan itu nanti, kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pihak AGC untuk tindakan susulan,” katanya selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti & Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia, di sini hari ini.
Terdahulu, lelaki berusia 30-an itu direman selama empat hari selepas ditahan pada 3 Mei lalu, sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan pendakwaan hanya akan dibuat selepas siasatan dilengkapkan dan arahan lanjut diperoleh daripada pihak pendakwaan.
“Dapat arahan tuduh, kita akan tuduh. Itu prosesnya. Bukan kita tangkap hari ni, esok kita tuduh, macam saya cakap tadi lah, data-data yang ada dalam telefon bimbit tu. Itu dikaji oleh MCMC.
“Kita nak pastikan bila kita tuduh nanti, siasatan kita lengkap, tuduhan kita pun mantap,” katanya. – KOSMO! ONLINE














