fbpx
DR Mohamad Zamri (kanan) bersama Ketua Pakar Perubatan Operasi Haji, Dr. Muhammad Taufiq Rosli melakukan persiapan terakhir menjelang hari wukuf di Mekah, baru-baru ini.

Disiplin kesihatan penentu jemaah mampu berwukuf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Operasi perubatan haji musim ini memberi fokus utama memastikan setiap jemaah Malaysia berada dalam keadaan sihat dan berupaya menunaikan ibadah kemuncak wukuf di Arafah.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Mohamad Zamri Harun berkata, pihaknya giat menjalankan pendidikan kesihatan kepada jemaah sebelum bergerak ke Arafah dan menasihatkan mereka mengurangkan aktiviti luar pada waktu siang bagi mengelakkan risiko cuaca panas.

Katanya, faktor cuaca panas melampau meningkatkan risiko dehidrasi, keletihan haba, strok haba dan penyakit berjangkit khususnya jangkitan saluran pernafasan.

“Kesihatan jemaah juga bergantung kepada disiplin diri masing-masing dan sebab itu pasukan pendidikan kesihatan memainkan peranan penting

“Kita mahu semua fokus untuk berwukuf di Arafah. Jadi seminggu terakhir ini, kurangkan aktiviti, banyakkan rehat dan minum air secukupnya kerana sasaran utama kami ialah memastikan semua jemaah dapat selesai haji dan memperoleh haji mabrur,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr. Mohamad Zamri berkata, secara purata kira-kira 600 jemaah mendapatkan rawatan setiap hari di seluruh klinik yang dibuka di Mekah dan Madinah.

Katanya, antara masalah kesihatan paling banyak direkodkan setakat ini ialah jangkitan saluran pernafasan atas seperti batuk dan sakit tekak, diikuti masalah kulit akibat kekeringan serta kecederaan tisu lembut kerana terlalu banyak berjalan.

“Sebab itu kita galakkan jemaah minum sekurang-kurangnya 10 gelas air sehari walaupun tidak haus kerana cuaca di Tanah Suci sangat berbeza berbanding Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jemaah khususnya pesakit kronik supaya terus berdisiplin mengambil ubat seperti biasa walaupun berada di Tanah Suci.

“Pesakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit kronik lain perlu terus makan ubat. Jangan hanya bergantung kepada doa semata-mata tanpa menjaga rawatan,” katanya.

Bagi musim haji tahun ini, katanya, pasukan perubatan melibatkan kira-kira 224 petugas termasuk pakar, doktor, jururawat, farmasi dan fisioterapi.

Beliau berkata, pasukan psikiatri turut disediakan bagi membantu jemaah yang memerlukan rawatan berkaitan kesihatan mental. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN