MEKAH – Sekumpulan jemaah lelaki dari Indonesia mengundang perhatian ramai apabila tiba di kota suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji dengan memakai pakaian tradisional dan serban batik Jawa dikenali sebagai blangkon, lapor portal berita Lambe Turah.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @damaiindonesiakuid menunjukkan rombongan jemaah berasal dari Yogyakarta itu berjalan di sekitar Masjidil Haram sambil memakai penutup kepala batik.
Ada antara mereka yang mengenakan baju serta kain batik.
Salah seorang jemaah itu berkata, pemakaian tersebut adalah persetujuan bersama agar mereka tidak terpisah daripada kumpulan.
“Mekah sangat sesak. Dengan memakai blangkon, lebih mudah bagi kami untuk mengenali satu sama lain dari jauh,” katanya.
Mereka juga ingin mempamerkan budaya Indonesia khususnya masyarakat Jawa.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.3 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Tidak lupa budaya negara sendiri,” kata seorang netizen. – AGENSI














