SEBERANG PERAI – Lima lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata di beberapa lokasi sekitar Seberang Perai, Mac dan April lalu.
Tertuduh, Didi Sugiarto, 28; Azhari, 35; Ajis Sukandar, 40; Fauji Hidayat, 41, dan Suharman, 44, bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa melakukan samun berkumpulan menggunakan sebilah parang terhadap enam lelaki di sebuah kuari di Padang Ibu, Kubang Semang, Bukit Mertajam, pada pukul 3 pagi, 11 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, mereka didakwa menyamun sembilan lelaki warga Bangladesh dan pasangan warga Myanmar menggunakan senjata tajam.
Kesalahan itu masing-masing dilakukan di sebuah rumah kontena di Jalan Kulim, Taman Machang Bubok dan di Sungai Bakap, pada 12 Mac dan 9 April lalu.
Antara barangan yang dilarikan termasuk sebuah telefon bimbit Vivo V5 5G Lite, sepasang subang emas serta sebuah iPhone 17 Pro Max.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 10 Jun depan untuk fakta kes dan hukuman selain tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 11 warga Indonesia termasuk sepasang kekasih ditahan bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes samun bersenjata di rumah kongsi dan tapak pembinaan sekitar Seberang Perai.
Kumpulan yang dikenali sebagai Geng Rantau itu dipercayai aktif melakukan kegiatan samun sejak awal tahun ini di beberapa daerah di negeri ini. -KOSMO! ONLINE














