Perang di Asia Barat antara Iran-Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel seolah tiada menampakkan tanda mahu surut. Hari-hari kita mendengar kenyataan yang berulang-ulang baik daripada Donald Trump mahupun pemimpin Iran.
Gencatan senjata yang diusahakan langsung tidak memberi kesan. Ada sahaja pihak yang mencabulinya. Perang yang dijangka berakhir dalam tempoh empat minggu kini berlanjutan entah sampai bila.
Dalam perang, kemenangan akan berpihak kepada mereka yang tahu dan bijak melakukan tipu daya, muslihat atau helah. Seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW: “al-harbu khud’ah” (perang adalah tipu daya).
Ya, memang nampak ringkas hadis berkenaan tetapi huraian dan maksudnya meluas. Inilah salah satu mukjizat Nabi kita, Muhammad SAW yang dikurniakan oleh Allah kepada baginda. Ucapan yang pendek tetapi memerlukan banyak helaian dan tinta untuk mentafsirkannya.
Setakat April, perang yang bermula pada 28 Februari lalu telah menyebabkan Iran menanggung kerugian mencecah RM1.06 trilion manakala AS pula telah membelanjakan sehingga RM2.78 trilion.
Lebih 1,500 kematian dilaporkan di Iran setakat Mac lalu manakala lebih 13 tentera AS terbunuh dan 365 cedera.
Bedilan roket dan peluru bukan sahaja memusnahkan dan menghancurkan medan perang tetapi mengorbankan banyak nyawa. Lebih teruk lagi kesan perang di Asia Barat telah mengheret seluruh dunia untuk merasai penderitaannya.
Malaysia tidak terkecuali daripada terkena tempias. Berbeza dengan perang Russia-Ukraine, situasi pertempuran Iran-AS dan Israel menyebabkan kita terpaksa menerima kesan yang lebih meluas.
Kerajaan terlalu bimbang dengan situasi ini. Simpanan dan stok minyak menjadi perkara utama yang dikhuatirkan. Pemimpin tidak dapat berselindung lagi apabila menyatakan subsidi yang diberikan semakin menekan kewangan kerajaan.
Minyak nadi kepada pergerakan perindustrian dan perniagaan. Jika ia naik, makanan dan barangan menjadi mahal. Jika ia turun, harga barangan yang naik tadi tidak akan turun. Jadi beban itu kekal ditanggung pengguna.
Hendak beli kereta elektrik? Masih ramai tidak mampu memilikinya.
Lebih memburukkan keadaan, kita mendengar pula ura-ura kuota Budi95 yang telah dikurangkan daripada 300 kepada 200 liter, hendak diselaraskan lagi kepada 150.
Walaupun ia hanya jangkaan, tindakan kurang popular itu telah memberi ruang kepada pempengaruh mencipta kandungan di media sosial. Hasilnya, lebih banyak cemuhan daripada pujian. Bukan hendak menyimbah minyak dalam api, tetapi Inilah realiti yang perlu dihadapi.
Kekecohan yang berlaku itu menarik perhatian begitu ramai netizen untuk memberi komen sehingga terlupa bahawa terdapat sekumpulan rakyat kita sedang berjuang bagi membela dan membantu rakyat Palestin.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 kini sudah melepasi lapisan zon kuning dan semakin hampir ke Gaza. Sejarah sebelum ini menunjukkan tiada kapal yang berjaya sampai apabila dipintas dan ditahan tentera Zionis.
Netizen pula seolah tidak mempedulikan langsung perkembangan getir ini. Sebab apa? Sebab mereka lebih tertarik berjuang untuk hidup sendiri kerana semua barang semakin mahal ketika mana situasi tidak menentu.














