fbpx
KETUA Unit Banteras Along Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Darul Muttaqim (DM), Adam Mustapa mendedahkan terdapat perunding mengarahkan mangsa membuat pinjaman baharu daripada along lain.

Perunding kaki kelentong, hutang makin bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Harapan mangsa along untuk bebas daripada cengkaman hutang bertukar mimpi ngeri apabila mereka diperdaya pula oleh pihak perunding yang kononnya menawarkan bantuan bagi penyelesai­an hutang.

Lebih mengejutkan, mangsa diarahkan membuat pinjaman baharu daripada along lain bagi membayar yuran perundingan mencecah ribuan ringgit, sekali gus menjerat mereka dalam kitaran hutang yang semakin parah.

Ketua Unit Banteras Along Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Darul Muttaqim (DM), Adam Mustapa berkata, semakin banyak pihak kini tampil menawarkan khidmat rundingan kepada mangsa along.

“Tidak semua perkhidmatan itu dapat menyelesaikan masalah. Ada pihak yang berselindung di sebalik nama badan bukan kerajaan dan kenakan pelbagai caj dan syarat membebankan.

“Jangan sampai harapkan pegar, pegar makan padi. Ramai mangsa datang kepada kami selepas mendakwa mereka menjadi lebih terbeban selepas mendapatkan bantuan pihak tertentu,” katanya kepada Kosmo!.

Ujarnya, mangsa perlu mengelakkan daripada mendapatkan khidmat pihak perunding yang tidak mempunyai pejabat operasi, mengenakan caj tersembunyi dan gagal menetapkan tempoh penyelesaian kes yang jelas.

Katanya, pihak perunding yang menggalakkan mangsa membuat pinjaman baharu juga perlu dijauhi.

“Terdapat juga pihak yang le­bih aktif menghasilkan kandungan media sosial berbanding menawarkan penyelesaian sebenar kepada mangsa.

“Ada mangsa diminta muncul dalam video kan­dungan media sosial perunding sebelum bantuan diberikan walaupun masalah hutang mereka belum diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima beberapa aduan daripada mangsa yang mendakwa dikenakan caj tinggi mencecah ribuan ringgit selepas mendapatkan khidmat rundingan.

Mengulas satu kes yang dite­rima, Adam berkata, seorang peniaga mendakwa tertarik de­ngan kandungan di TikTok selepas melihat sebuah pihak perunding mempromosikan konsep bayaran balik secara ‘on hand’.

Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar yang diminta selepas mangsa mengisi maklumat pinjaman dan menandatangani surat persetujuan didakwa berbeza daripada promosi asal.

Ujarnya, pengadu turut mendakwa dikenakan yuran konsultasi RM50 serta caj rundingan sebanyak 20 peratus daripada nilai pinjaman, namun sehingga kini masalah hutangnya masih belum diselesaikan.

“Dalam satu lagi kes, seorang pekerja dicaj RM500 bagi sesi konsultasi sebelum digalakkan membuat pinjaman daripada along lain untuk bayar yuran rundingan 30 peratus,” ujarnya.

Katanya, tindakan itu menyebabkan pengadu menanggung hutang baharu, manakala pihak perunding didakwa masih gagal menunaikan janji yang diberikan sebelum ini.

“Seorang lagi pengadu telah membayar RM100 bagi sesi konsultasi sebelum dikenakan yuran hampir RM8,000.

“Bagaimanapun, pengadu berkenaan memaklumkan tidak mampu memenuhi syarat tersebut dan mendakwa tiada penyelesaian sebenar diberikan terhadap masalah hutang yang dihadapinya,” katanya.

Tambahnya, keadaan sedemikian boleh menyebabkan mangsa semakin tertekan dan terperangkap dalam kitaran hutang yang lebih besar selepas dimanipulasi pihak perunding. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN