fbpx
Badrul Hisham.

Chegubard diperintah bela diri kes fitnah Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan aktivis politik, Chegubard membela diri atas pertuduhan fitnah jenayah berhubung pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Perintah itu dikenakan terhadap Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, 48, selepas Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, hakim itu menyatakan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pada 4 November 2025, Badrul Hisham yang juga bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan tersebut tanpa dipanggil membela diri.

Menurut Hakim Noor Ruwena, setelah meneliti rekod rayuan, hujahan kedua-dua pihak serta keseluruhan keterangan yang dikemukakan, mahkamah mendapati terdapat keterangan yang boleh dipercayai bahawa kenyataan dibuat responden adalah tidak benar dan berunsur fitnah.

Katanya, mahkamah juga berpendapat elemen-elemen pertuduhan telah dibuktikan pada tahap prima facie, sekali gus memerlukan responden dipanggil membela diri.

“Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat keterangan yang boleh dipercayai bahawa kenyataan yang dibuat oleh responden (Chegubard) adalah tidak benar dan tergolong di bawah fitnah.

“Oleh yang demikian, pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap responden dan demikian, responden dipanggil untuk bela dirinya atas pertuduhan tersebut,” katanya.

Susulan keputusan itu, hakim itu mengarahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Sesyen yang sama untuk perbicaraan peringkat pembelaan.

“Pada pandangan saya, ini merupakan undang-undang mantap, untuk mahkamah campur tangan jika ada kesilapan dari segi fakta dan undang-undang oleh hakim Mahkamah Sesyen.

“Peringkat ini, beban pembuktian secara keterangan telah beralih kepada tertuduh untuk mengemukakan penjelasan yang munasabah bagi menolak kes pendakwaan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi penetapan tarikh perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang sama pada 25 Jun ini (esok).

Dalam prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noor Hadi manakala Badrul Hisham diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Pada peringkat pendakwaan, seramai empat saksi telah memberi keterangan termasuk seorang pengadu dari Istana Negara, dua pegawai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pegawai penyiasat kes.

Perbicaraan bermula pada 16 Mei 2025.

Berdasarkan pertuduhan, Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, pada pukul 6 petang pada 22 Januari 2025.

Kes tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN