MARAN – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan pembinaan Hospital Maran yang sebelum ini dicadangkan tidak akan diteruskan buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan fasiliti kesihatan sedia ada khususnya Klinik Kesihatan (KK) Maran bagi memastikan rakyat di daerah itu terus menerima perkhidmatan kesihatan terbaik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau sendiri turun padang dan menilai keperluan sebenar penduduk serta tahap penggunaan fasiliti kesihatan di daerah ini.
Tambahnya, berdasarkan penilaian tersebut, kadar penggunaan katil atau ‘bed occupancy rate’ (BOR) di Hospital Jengka yang juga terletak di Parlimen Maran ketika ini hanya sekitar 57 peratus manakala Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh yang merupakan daerah terdekat pula mencatatkan 63 peratus.
“Setelah saya kenal pasti dan turun padang sendiri, saya dapat menyaksikan realiti di lapangan serta menetapkan pembinaan Hospital Maran ini tidak akan diteruskan buat masa ini.
“Paling mustahak untuk saya tekankan adalah kalau kita melihat kepada penggunaan katil ataupun BOR di Hospital Jengka hanyalah pada tahap 57 peratus.
“Kita perhatikan pula dalam konteks Hoshas, BOR-nya juga hanya pada tahap 63 peratus, sekali gus menunjukkan dari sudut ‘utilisation’ atau penggunaan yang belum ke tahap yang boleh kita anggap mendesak untuk kita bangunkan sebuah lagi hospital,”katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Maran di sini hari ini.
Menurut beliau, tiada dasar mewajibkan setiap daerah mempunyai hospital sendiri sekiranya kemudahan sedia ada masih mampu menampung keperluan penduduk.
Sebaliknya, katanya, KKM kini akan memberi fokus kepada pengukuhan KK Maran yang berstatus jenis 4 (Type 4) agar mampu berfungsi hampir setara dengan hospital menerusi beberapa penambahbaikan.-KOSMO! ONLINE.














